Monday, January 4, 2010

Bunga Emas Tanda Ketuanan?

Negeri-negeri Melayu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ada kaitan dari segi sejarah dengan Negara Siam. Negeri-negeri ini pernah dikatakan menghantar Bunga Emas kepada negeri Siam, walaupun pengaruh Siam tidak begitu kuat. Setelah British campur tangan di negeri-negeri Melayu, ada pedagang-pedagang yang berminat terhadap negeri-negeri Melayu Utara.

Pada mulanya pihak British ingin mengekalkan negeri Siam sebagai negeri perantaraan dengan Burma, dan kuasa-kuasa Barat lain seperti Perancis. British telah mengiktirafkan pengaruh Siam ke atas negeri-negeri Melayu Utara. Sungguhpun ini tidak disukai oleh negeri-negeri Melayu tersebut, British telah menandatangani beberapa perjanjian sulit dengan Siam bagi menentukan nasib dan masa depan negeri-negeri Melayu berkenaan kecuali Johor.

Sultan-sultan negeri-negeri Melayu berkenaan tidak bersetuju dengan syarat-syarat Perjanjian Bangkok tahun 1909. Namun, British telah melantik penasihatnya di setiap negeri terlibat.
Sementara itu Johor masih bebas daripada naungan British sehingga tahun 1914 apabila Johor juga terpaksa menerima penasihat Britsh.

Keengganan sultan-sultan negeri berkenaan menyertai Persekutan yang ditubuhkan pada tahun 1896, menyebabkan wujudnya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Menjelang akhir kurun ke-19, terdapat dua jenis pentadbiran British di Tanah Melayu iaitu:
1. Negeri-negeri Selat (P.Pinang, Singapura dan Melaka)

2. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ( Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang)

Negeri-negeri Melayu Utara yang terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pula dikaitkan dengan Siam yang menganggap negeri-negeri itu di bawah kekuasaannya. Bagaimanapun Siam tidak menguasai negeri-negeri itu. Malah negeri-negeri itu beranggapan "Hubungan itu adalah semata-mata satu pengakuan mengikut adat mengenai ketuanan luar negeri."

Negeri-negeri Melayu Utara menghantar Bunga Emas setiap tiga tahun sekali ke Siam sebagai tanda ketuanan. Bunga emas merupakan pohon yang diperbuat daripada emas dan batangnya daripada perak. Bagaimanapun nilainya tidak tetap bergantung kepada kemakmuran setiap negeri. Kedah misalnya pernah menghantar Bunga Emas bernilai $5000.00 dan Bunga Emas Kelantan pernah bernilai $11,000.00. Johor merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang berjaya mengelakkan campur tangan kuasa asing dan diperintah oleh Sultan yang merdeka.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai