Tunku Ibrahim angkat sumpah
Lafaz pemasyhuran itu dilakukan pada pukul 5.10 petang dalam satu upacara di Istana Besar di sini.
Pada sidang akhbar pukul 11.20 malam ini, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan kemangkatan Sultan Johor pukul 7.15 malam.
Pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail dibuat mengikut Fasal 9 (1)(b) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895.
Lafaz pemasyhuran itu adalah seperti berikut:
"Bahawa adalah saya, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar pada masa memegang jawatan Pemangku Raja bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim dan segala takluknya bersumpah dengan iman bahawa saya mengaku akan memerintah dengan adil saksama dan timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk-penduduk negeri Johor dan saya bersumpah dan mengaku akan memelihara dan menghormatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang kuat dengan Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor dan juga Undang-undang Negeri,"
Putera sulung Sultan Johor dengan isteri pertama, Josephine Ruby Trevorrow itu diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.
Tunku Ibrahim Ismail mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.
Tunku Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) pada 1971-1975.
Di samping itu, Tunku Ibrahim Ismail turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.
Tunku Mahkota turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, AS untuk latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying's School dan menerima anugerah 'sayap' penerbangannya.
(C) 2009 Utusan Malaysia