Sunday, February 21, 2010

KEISTIMEWAAN PENDING

Pending ialah pengancing tali pinggang atau kepala tali pinggang yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita Melayu sebagai pakaian istiadat. Kebanyakan pending berbentuk bujur seperti mata manusia, bulat, segi empat dan sebagainya. Pending yang dipakai oleh pembesar-pembesar Melayu dan raja yang memerintah dibentuk dengan menggunakan emas atau suasa, perak atau tembaga yang bercutam. Dipercayai bahawa pending berasal daripada pakaian wanita Siam yang telah dibawa masuk ke Malaysia melalui orang Melayu Patani.

Pending diraja yang dipakai oleh DYMM Yang diPertuan Agong diperbuat daripada emas tulen dan dihiasi sebelas biji batu permata berwarna merah. Di tengahnya diukir lambang Persekutuan. Tali pinggang baginda diperbuat daripada kain sutera serta disulam dengan benang emas bermotif bunga-bungaan. Reka corak yang diilhamkan oleh tukang-tukang emas di pantai timur memperlihatkan keindahan alam semula jadi yang begitu gemilang serta sempurna pembuatannya.

Ada di antaranya yang telah dibentuk dengan bertatah berbagai-bagai ragam hias permata manikam.
Pending-pending yang dipopularkan oleh suku kaum India dan Cina di Melaka juga menerapkan rekabentuk yang hampir serupa kecuali reka coraknya berunsur kepercayaan agama dan simbol-simbol tertentu semenjak berkurun-kurun lamanya. Bentuk-bentuk motif yang digunakan ini boleh membezakan di antara pending Melayu dengan yang bukan Melayu

Pending juga digunakan oleh wanita Iban di Sarawak sebagai pakaian istiadat tradisional mereka. Rekabentuknya mirip pending Cina dengan menggunakan perak untuk membentuk keseluruhan pending dan talinya. Sehingga kini belum lagi ditemui pending yang diperbuat daripada emas di Sarawak atau di Sabah. Namun demikian pending moden telah dicipta dan digunakan oleh penari-penari tradisional tempatan untuk menyerikan lagi pakaian mereka.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai