Thursday, February 4, 2010

Masjid Tertua di Tanah Melayu

Masjid Kampung Hulu merupakan sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Dibina dalam tahun 1728, Masjid Kampung Hulu di Melaka adalah masjid paling tua di Malaysia yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal. Masjid ini terletak di persimpangan Jalan Masjid Kampung Hulu dan Jalan Masjid di Melaka, dalam kawasan yang kini dipenuhi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina.

Masjid ini dibina oleh oleh penduduk-penduduk tempatan dengan pembiayaan Belanda semasa penjajahan Melaka oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (singkatannya V.O.C.).

Sebelum kedatangan kaum Belanda pada tahun 1624, penjajah Portugis telah, sejak tahun 1511, memusnahkan peninggalan rumah-rumah ibadat bukan Kristian di Melaka.
Antara yang dimusnahkan oleh Portugis adalah masjid yang pertama dibina di Melaka, yang kononnya terletak bertentangan dengan tapak Stadhuys sekarang.


Pemerintah Belanda telah menugaskan Kapitan untuk mengetuai penduduk tempatan dalam pembinaan tempat ibadat mereka, Dato' Samsuddin Bin Arom, seorang pendatang dari China yang telah memeluk Islam, ditugaskan pemerintah Belanda untuk membina Masjid Kampung Hulu.

Masjid ini mempunyai bumbung berlapis 3, dengan bentuk seakan-akan piramid. Struktur bumbung disokong oleh 4 tiang seri di tengah-tengah masjid, yang kemudiannya membawa kepada tiang-tiang penyokong yang lain. Walaupun senireka masjid ini dipengaruhi oleh senireka Jawa, Masjid Kampung Hulu tidak dibuat daripada kayu seperti masjid-masjid di Jawa, sebaliknya dibuat menggunakan bata dan batu. Masjid ini juga mempunyai tembok rendah yang memagarkan kawasan masjid.

Seperti banyak masjid yang dibina di Melaka pada zaman itu, hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid ini. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam semulajadi. Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai