Sunday, February 7, 2010

Undang-undang Tubuh JOHOR

Undang-undang Tubuh Negeri Johor, (اوندڠ-اوندڠ توبوه نڬري جوهر) merupakan satu set undang-undang di negeri Johor, Malaysia yang menjadi perlembagaan asas bagi negeri tersebut. Dimasyhurkan pada 14 April 1895 oleh Sultan Abu Bakar, perlembagaan tersebut menjadikan Johor sebagai negeri Melayu pertama yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Di antara kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan itu ialah:

1. Syarat-syarat bagi melantik atau menabalkan Sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan;

2. Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri;
3. Aturan-aturan berkenaan dengan agama Islam dalam negeri Johor;
4. Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan; dan

5. Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing.


Sejak 1895, Undang-undang Tubuh Negeri Johor telah dipinda empat kali:-
* Pindaan Pertama (1 April 1908) * Pindaan Kedua (17 September 1912) * Pindaan Ketiga (12 Mei 1914) * Pindaan Keempat (17 Julai 1918)

Kepentingan Perlembagaan
Undang-undang Tubuh Negeri Johor telah memainkan peranan penting di kalangan masyarakat Melayu semasa menentang penubuhan Malayan Union.
Faktor utama penentangan adalah kerana kesemua Sultan di Negeri-negeri Melayu akan hilang kuasa dan kedaulatan mereka terhadap negeri masing-masing, serta disebabkan cara Sir Harold MacMichael mengugut untuk mendapatkan tandatangan para Sultan.

Sultan Ibrahim dari Johor sendiri telah dipaksa oleh MacMichael untuk menandatangani perjanjian tersebut, membangkitkan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu, sambil mendakwa bahawa menandatangani perjanjian tersebut adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang tidak membenarkan Sultan Johor daripada melakukan apa-apa tindakan yang boleh menggugat kedaulatan negeri Johor.

Sebagai maklum balas terhadap penentangan tersebut, baginda menganjurkan perhimpunan agung pertama UMNO di istana baginda di Johor Bahru pada Mei 1946. Beliau turut sama memboikot perlantikan gabenor pertama Malayan Union.
Hasil daripada kejayaan orang-orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union, para pemimpin negeri-negeri Melayu yang lain turut menggunakan Undang-undang Tubuh Negeri Johor sebagai model bagi perlembagaan masing-masing bagi melindungi kedaulatan negeri-negeri Melayu.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai