Thursday, March 4, 2010

1Malaysia dan hak semua kaum


Kerajaan Perlu Bijak Imbangi Hak Semua Kaum : Setiausaha Politik Perdana Menteri

KOTA KINABALU -- Kerajaan perlu bijak mengimbangi hak semua kaum sebagai warga negara Malaysia, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.

Beliau berkata golongan atau individu yang berpotensi untuk maju dalam sesuatu bidang wajar diberi peluang mendapatkan bantuan yang ditawarkan kerajaan tanpa mengira kaum dan agama.

"Kebijaksanaan umpama sebuah kek. Kalau semua layak merasakan kek itu, kita besarkan kek itu supaya semua dapat. Kalau kita pandai dan layak untuk mendapatkan sesuatu peluang, tak mungkin kita akan ketinggalan," katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Taklimat 1Malaysia di sini.

Beliau diminta menjelaskan sama ada Gagasan 1Malaysia akan menghakis hak dan keistimewaan golongan Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sahlan berkata hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera akan terus dipelihara dan golongan itu tidak perlu bimbang dan merasakan hak mereka akan diabaikan di bawah 1Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan juga tidak akan meminggirkan hak mana-mana kaum sekiranya layak menerima bantuan seperti biasiswa atau peluang ditempatkan di institusi pengajian tinggi awam.


-- BERNAMA

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai