Wednesday, March 3, 2010

KENAPA MB PERAK TAK SEHALUAN DENGAN TUNKU?

Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz merupakan bekas Menteri Besar Perak dari 1 Februari 1948 hingga 1 Ogos 1957. Dia dilahirkan pada 1905 di Perak.

Mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan dibiayai melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Inner Temple bersama dengan Tunku Abdul Rahman, Raja Muda Raja Haji Bot dari Selangor, Nik Ahmad Kamil dari Kelantan, Abdul Hamid Mustafa dan Syed Syeikh Barakbah dari Kedah.

Beliau dari keturunan bangsawan Perak (Pembesar Empat Perak) dan merupakan anak pembesar Melayu yang pertama dapat melanjutkan pelajaran ke England. Haji Abdul Wahab ternyata cerdas kerana sentiasa lulus dalam peperiksaan undang-undang. Sebagai ganjaran, Haji Abdul Wahab diberi beberapa pas untuk membawa beberapa rakan pelajar ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan penuh di mahkamah England.

Ketika Sultan Ibrahim dari Johor melawat pelajar-pelajar Melayu di England, Haji Abdul Wahab gagal memberi ucapan dalam bahasa Melayu. Tindakan ini tidak disenangi oleh Tunku Abdul Rahman.

Pada 1928 Haji Abdul Wahab menjadi Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Great Britain. Haji Abd Wahab selaku Menteri Besar Perak telah menubuhkan Parti Kebangsaan Perak (Perak National Party). Pada peringkat awal, parti-parti politik bercorak kenegerian sahaja. Ketika itu seseorang boleh menyertai dua atau lebih parti politik.

Kemudian pada Mac 1953 Dato' Panglima Bukit Gantang (walaupun sebagai Pengerusi UMNO Perak) telah mula mengusahakan penubuhan sebuah parti politik yang lain di luar kekuasan UMNO dan memberikan sokongan politiknya kepada Dato Onn Jaafar yang telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independence of Malaya Party / IMP).

Pada April 1953 beliau telah dipecat dari UMNO tetapi cawangan-cawangan UMNO Perak telah menyokong Haji Abd Wahab dengan majoriti undi percaya 37 berbanding 15. Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman memberi amaran kepada cawangan-cawangan UMNO di Perak bahawa mereka akan dipecat jika terus-terusan mengakui Dato' Panglima Bukit Gantang sebagai pengerusi UMNO Perak. Akhirnya sebahagian besar UMNO Perak keluar menyertai Dato' Panglima Bukit Gantang menubuhkan Parti Kebangsaan Perak yang menjadi teman politik Dato' Onn dan Parti Kemerdekaan Malaya.

Penghargaan Foto : Biografi Politik Tunku Abdul Rahman
(Dewan Bahasa dan Pustaka)
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai