Monday, March 29, 2010

Raja Nazrin tekad pertahan institusi beraja daripada dipersenda

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah akan mengambil tanggungjawab utama untuk melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi institusi beraja yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini akan terus dipertahankan.

"Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda redha untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyingsing; kerana hari siang juga akan berakhir.
"

"Jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita," titah baginda.
Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Kesultanan Melayu merupakan institusi penting berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada warga dan bangsanya. Raja Nazrin bertitah sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung. Kebijaksanaan pemerintahan beraja membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.

"Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggungjawab mengekalkan identiti negara bangsa," titah baginda. Kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti daripada segi institusi, agama, budaya dan bahasa.

"Tindakan-tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa. Di era peperangan dingin, langkah-langkah sedemikian lahir dari kumpulan yang berpegang kepada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif. "

Atas nama Revolusi Budaya, di China dan indoktrinasi komunisme di Kampuchea (Kemboja) dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri; pemimpin-pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah," titah baginda.


Hari ini dunia sedang menghadapi gelombang globalisasi yang menghempas setiap sempadan dan mahu memecahkan benteng budaya dan berkemungkinan menghanyutkan lembaran sejarah negara bangsa. Raja Nazrin bertitah warga muda yang sedang dilambung ombak globalisasi, perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.

Titah baginda ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik.
"Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghanyutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa.

"Warga perlu disedarkan, bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan ditakrifkan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan negara bangsa. Bahawa elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan," titah baginda.

Dipetik drpd mStar Online
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai