Thursday, April 15, 2010

Jawatankuasa Khas Antara Kaum

PUTRAJAYA 14 April – Para mufti mencadangkan agar nama Jawatankuasa Khas Antara Agama ditukar kepada Jawatankuasa Khas Antara Kaum bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat. Perkara itu dicapai hasil pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan mufti-mufti negeri berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu yang menimbulkan kontroversi.

Jamil Khir berkata, jawatankuasa khas itu tidak boleh membincangkan isu mengenai agama Islam termasuk membabitkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Katanya, ini kerana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 2005 sudah memutuskan agar badan seumpama itu tidak boleh ditubuhkan.

“Bagaimanapun apa yang hendak ditubuhkan itu ialah jawatankuasa mempromosikan (keharmonian) tetapi saya rasa ada laporan tidak tepat yang menyebut tentang ‘antara agama.’ Mufti amat mengalu-alukan dialog dan perbincangan persefahaman tetapi untuk tidak mengelirukan orang ramai dan hala tuju perbincangan, maka dicadangkan perkataan antara agama ditukar.

“Cadangan yang dikemukakan oleh para mufti ini akan dibawa kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini. Beliau turut memberi taklimat kepada mufti mengenai isu tersebut. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Jamil Khir memberikan taklimat kepada para mufti mengenai jawatankuasa tersebut.

Pada 6 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi jawatankuasa khas berhubung isu antara agama dalam negara.

Jawatankuasa khas itu dianggotai oleh perwakilan daripada Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia (MCCBCHST) dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun penubuhan jawatankuasa khas itu dibantah sebulat suara oleh Jawatankuasa Fatwa Perak dan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsuddin. Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut mencadangkan agar jawatankuasa itu diubah namanya kepada jawatankuasa perhubungan antara kaum.

Jamil Khir menjelaskan, jawatankuasa khas itu boleh membincangkan apa saja isu semasa asalkan ia tidak menyentuh soal agama yang terletak di bawah bidang kuasa raja-raja. “Soal Perlembagaan sudah jelas tidak boleh kacau, apa yang termaktub berkaitan eksekutif dan undang-undang tidak boleh kacau,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka boleh memanfaatkan jawatankuasa khas itu bagi membincangkan isu seperti masalah pembuangan bayi atau penyalahgunaan dadah mengikut perspektif agama masing-masing. “Ia hanya untuk hal-hal yang bertujuan mempromosikan kesefahaman dan perpaduan, maknanya kalau dalam Islam tidak setuju kepada dadah, maka begitu juga dalam agama lain macam mana, kita bincanglah. Jadi hal-hal tersebut mempunyai ruang lingkup begitu besar yang perlu kita bincang bersama,” katanya.

Ditanya adakah jawatankuasa itu boleh membincangkan isu ‘orang tidak faham tentang Islam’ beliau berkata: ‘‘Ya, untuk kita maklumkan apa dia itu Islam.”

Sumber : www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai