Sunday, April 11, 2010

KEBANGKITAN INSTITUSI RAJA

KIRA-KIRA enam ratus tahun lalu, institusi beraja pernah berada di puncak kemasyhuran pada era Kesultanan Melayu Melaka. Bermula dari detik Parameswara membuka Melaka, sebuah perkampungan nelayan pada 1400 sehingga menjadi sebuah empayar besar pada era Sultan Mansur Shah, raja bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Berabad lamanya sultan memiliki kuasa penuh mentadbir jajahan takluknya sehingga pengaruh itu terhakis sedikit demi sedikit akibat penjajahan kuasa asing. Biarpun ketika ini institusi kesultanan berpandukan sistem Raja Berpelembagaan, tanda kebangkitannya kian terserlah terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Mac lalu.

Pihak istana tidak lagi sekadar mengiakan setiap cadangan pihak eksekutif, sebaliknya berani membuat keputusan yang dirasakan sesuai dan tepat demi kesejahteraan rakyat seperti terbukti ketika kontroversi pelantikan Menteri Besar di Perak, Selangor, Terengganu dan Perlis, selain Johor sebelum proses penamaan calon.

Seperkara menarik, hubungan antara istana dan rakyat kini makin rapat apabila keluarga diraja kerap turun padang mendampingi rakyat. Sebagai contoh, program Kembara Mahkota Johor (KMJ) ke-10 dari 24 hingga 27 Julai (esok) menyaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail menjelajah ke 10 daerah di Johor untuk berdampingan dengan rakyat.

Mengikut program yang diatur, Tunku Ibrahim berkenan menyertai sukan rakyat, menyampaikan sumbangan kepada keluarga miskin, menziarahi rumah anak yatim, selain bermalam di sebuah rumah di kawasan dilawati. Lebih menarik, program itu turut membabitkan kerajaan negeri apabila Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, barisan Exco, ketua jabatan turut serta untuk berdamping dan menyelesaikan masalah rakyat setiap tahun.

Kerjasama erat antara pihak istana dengan kerajaan Johor boleh dijadikan contoh kepada negeri lain kerana secara tidak langsung rakyat mendapat faedah. Seperti yang pernah dititahkan Tunku Ibrahim, baginda tidak pernah meminta layanan diraja kerana matlamat utama mahu berdamping dengan rakyat, namun kerana statusnya sebagai pewaris sultan, ia tidak boleh dielak.

Ini kerana sejak zaman berzaman orang Melayu sentiasa menghormati institusi beraja yang dianggap payung negeri. Justeru, jika ada pihak mengubahsuai atau menambah baik rumah mereka bagi membolehkan Tunku Mahkota bermalam dengan selesa, pihak yang bakal mendapat faedah jangka panjang ialah tuan rumah itu sendiri.

Atau dalam konteks lebih luas, jika sesebuah kawasan itu dilawati rombongan KMJ, sudah pasti kawasan terbabit bakal mendapat manfaat seperti jalan diperbaiki dan pelbagai kemudahan lain ditambah baik.

Seperti dititahkan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini, raja sebagai sebahagian daripada institusi negara berasa peranan mereka tidak sekadar pelengkap kepada adat kerana raja bukan daripada kalangan insan yang buta, pekak dan bisu.

Baginda bertitah, pandangan berterus-terang raja dalam perkara berkaitan perpaduan rakyat, peranan agama, kebebasan kehakiman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah kerana hasrat untuk memastikan negara terus kukuh dan aman dengan rakyat sejahtera dan makmur.

“Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan mereka. Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka. Biar apapun sistem raja itu dilandaskan, peranan raja bukan sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas keraian dan istiadat semata-mata. Raja bukan monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa, tanpa jiwa,” titahnya ketika menyampaikan titah syarahan bertajuk ‘Institusi Beraja’ pada majlis Intan Premier Talk di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara.

Untuk memastikan takhta kekal dihormati, baginda bertitah, raja wajib bersifat berkecuali dengan memisahkan diri daripada terbabit dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian serta menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen mana-mana pihak dalam persaingan mendapatkan kuasa politik.

“Raja hendaklah berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian yang membabitkan banyak kerenah dan pelbagai kontroversi. Dengan berada di takhta yang lebih tinggi, raja hanya terbabit pada waktu dan ketika yang diperlukan,” titah baginda.

Bersesuaian dengan konsep Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara, Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin contoh terbaik raja berjiwa rakyat. Baginda boleh memilih hidup selesa di istana tetapi prinsip seperti itu tiada dalam kamus Tuanku Mizan sejak zaman remajanya. Justeru, tidak mengejutkan baginda mempunyai kebolehan hebat dalam beberapa sukan terutama ekuestrian apabila tersohor sebagai ekuin bertaraf antarabangsa.

Jika Tuanku Mizan meminati ekuestrian, keluarga diraja Pahang dan Selangor tidak boleh dipisahkan dengan bola sepak. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah masih memegang tampuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala anakandanya, Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang bekas timbalannya sebelum meletak jawatan.

Seorang lagi anakandanya, Tengku Abdul Rahman yang juga Raja Muda Pahang mempunyai minat mendalam terhadap sukan dan ini terbukti menerusi penganjuran Fiesta Media Idola setiap tahun. Minat sama turut dikongsi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberi perkenan untuk penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan tahunan antara Selangor dengan Singapura.

Keluarga diraja Perak dan Johor pula mempunyai pengaruh kuat dalam hoki. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ialah bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) - jawatan yang kini disandang Tunku Bendahara Johor, Tunku Majid. Minat dalam sukan contoh mudah betapa rakyat Malaysia sebenarnya bertuah mempunyai ramai raja berjiwa rakyat, selain boleh bertindak membataskan kuasa eksekutif jika dirasakan ada keperluan demi kesejahteraan rakyat.

Seperti aur dengan tebing atau isi dengan kuku, raja dan rakyat tidak dapat dipisahkan. Andai dipisahkan, rosaklah lagu, sumbanglah irama.

Sumber : Harian Metro
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai