Sunday, April 11, 2010

Menghayati Maksud Raja Berperlembagaan

Dalam tahun 1980, Sultan Azlan Shah, ketika itu Ketua Hakim Negara, telah mengingatkan bahawa ‘mahkota’ akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar. Seri Paduka Baginda melunaskan pendapat itu dalam titah ucapan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Baru-baru ini Raja Dr. Nazrin Shah, putera baginda yang juga Raja Muda Perak, sekali lagi menekankan dalam nada yang seakan-akan sama, bahawa banyak berlaku dalam sejarah, institusi raja tumpas apabila ia tidak direstui oleh rakyat. Dalam senario tindakan rakyat, tidak ada yang lebih penting daripada melakukan pemilihan wakil rakyat dan kerajaan rakyat dalam pilihan raya.


Inilah aktiviti kemuncak dalam amalan demokrasi. Apabila rakyat telah membuat pilihan, maka pilihan itulah yang menjadi restu rakyat. Tidak ada pihak sewajarnya menafikan restu mereka. Memandangkan institusi raja di Malaysia kini diasaskan pada institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Wesminster, London, maka apa yang berlaku kepada institusi ini di United Kingdom (UK) adalah amat relevan untuk dihayati.

Dalam sejarah Raja Berperlembagaan di UK, tidak pernah berlaku sebarang pelantikan yang dibuat oleh parti yang menang dalam pilihan raya dinafikan oleh raja, baik bergelar king mahupun queen. Raja Berperlembagaan di UK telah banyak melalui pengalaman yang luas dalam sejarah.
Antara episod terpenting dalam sejarah institusi raja UK berlaku pada tahun 1587 apabila Queen Mary dihukum pancung kepala dan tahun 1649 apabila Oliver Cromwell menjadi Lord Protector setelah King Charles I juga mengalami nasib yang sama.

Menurut Richard Buskin, pengarang buku British Royalty, sebab utama pemberontakan Cromwell yang disokong oleh 15,000 orang soldadu ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan King Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang akan terjejasnya kuasa.


Sumber : zahirzainudin.blogspot.com
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai