Sunday, April 4, 2010

Melayu tak sedar diri

Melayu tak sedar diri

Tulisan Awang yang menyokong Perkasa dalam ruangan ini minggu lalu terus dibidas oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkongsi sentimen dengan pihak-pihak tertentu terutama DAP bagi menentang Perkasa. Mereka khuatir kebangkitan NGO Melayu walaupun dalam konteks mempertahankan Perlembagaan dan asas kenegaraan. Lebih-lebih lagi sokongan masyarakat Melayu terhadap Perkasa kian melonjak. Ada kajian mendapati hampir 70 peratus orang Melayu menyokong pendirian Perkasa dalam banyak isu kritikal. Awang ingin bertanya Zaid, apa salahnya orang Melayu di tanah air ini menyokong Perkasa?

Selain itu, beliau mempersoalkan Awang dengan menyatakan sebenarnya tiada pihak yang menghina dan mencabar kedudukan raja-raja Melayu? Sekali lagi Zaid buat-buat lupa tentang beberapa peristiwa menghina Sultan Perak tahun lalu, yang didalangi pembangkang. Kita masih ingat bagaimana rakyat dan pelbagai pihak marah terhadap cubaan mencabar institusi raja, yang terburuk dalam sejarah moden tanah air. Malah bara penghinaan itu masih belum padam sehingga hari ini. Jika Zaid anggap ia tidak berlaku, memang beliau tebal ego dan hipokrit. Awang ingin bertanya ketika institusi raja diasak teruk ketika itu, mengapa PKR lama berdiam dan tiada pendirian apatah lagi untuk mengeluarkan kenyataan keras mempertahankan institusi berkenaan? Awang juga ingin mencabar Zaid agar mengisytiharkan bahawa PKR menjunjung sepenuhnya Perlembagaan negara dan mempertahankannya dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam pada itu, Zaid mempersalahkan pemimpin UMNO dan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad terhadap beberapa perkara termasuk kegagalan Melayu, Awang tidak terkejut. Perspektif yang beliau beri kabur seperti orang dalam ketagihan. Itu memang perangai Zaid, hanya nampak dirinya betul dan pihak lain salah. Pada Awang, orang seperti Zaid turut menyumbang kepada kegagalan Melayu. Beliau adalah Melayu yang tidak sedar diri. Ramai yang tahu siapa Zaid dan juga kontrak-kontrak yang pernah diterima daripada kerajaan. Apakah semuanya atas asas merit? Awang tidak pasti tetapi ia menjadi perbualan bahawa beliau banyak mendapat faedah ekonomi atas kapasitinya sebagai peguam dan usahawan Melayu? Persoalannya lagi, sejauh manakah faedah yang beliau peroleh dimanfaatkan bagi membantu semaksimum mungkin usahawan Melayu yang baru bertatih?

Berkaitan integriti, Zaid sudah hilang itu semua. Banyak kenyataan beliau mengundang kemarahan ramai. Salah satunya, Awang masih ingat bagaimana Zaid pernah menggesa Yang di-Pertuan Agong campur tangan dengan tidak melantik Mohd. Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) sebagai Perdana Menteri. Sekiranya Zaid mendokong demokrasi seperti dilaung-laungkan, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian.

Kini Zaid menjadi hulubalang kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang berdepan dengan satu lagi kes liwat, isu campur tangan asing dan pembohongan yang serius. Anwar diketahui ghairah mendapatkan sokongan bukan Melayu dengan cara menggugat struktur politik Melayu, yang menjadi tunjang selama ini. Zaid nampaknya gembira untuk berada dalam sistem seperti itu. Awang tidak kisah kalau beliau dalam golongan Melayu liberal dan mengamalkan gaya hidup tersendiri tetapi janganlah musnahkan Melayu kerana politik. Jika Zaid bijaksana, mengapa tidak memperbetulkan banyak kepincangan dalam pembangkang terutama PKR. Mengapa beliau boleh menerima pemimpin bermasalah besar seperti Anwar sedangkan puluhan pemimpin PKR sudah meninggalkannya atas prinsip kebenaran? Pemimpin diangkat dan diikut atas akhlak dan kebolehannya. Lalu Awang boleh mengerti mengapa Zaid tidak mendapat sokongan akar umbi termasuk ketika berada bersama UMNO. Memang beliau pemimpin yang bermasalah. Celaru identiti dan celaru jiwa.



Ihsan - (c) 2010 Utusan

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai