Tuesday, April 6, 2010

Sultan Pahang berhak buat keputusan

KUALA LUMPUR 5 April - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan hukuman yang wajar kepada Kartika Sari Dewi Shukarno.

Katanya, sebagai ketua agama negeri, keputusan Sultan Pahang itu tidak sepatutnya dipertikaikan. "Sultan adalah pemerintah tertinggi dalam bidang agama Islam. Baginda boleh menentukan apa saja hukuman berdasarkan kepada kepentingan orang awam. Baginda telah melaksanakan apa yang betul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Persatuan Peguam Syarie Malaysa (PGSM) sebelum ini yang mempertikai keputusan Sultan Pahang menarik balik hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas Kartika baru-baru ini dan diganti dengan khidmat masyarakat selama tiga minggu.

Kartika dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang. Pada 24 Ogos, 2009, dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman sebatan yang dijatuhkan itu sebelum ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya hanya mempunyai kuasa dan soal pengkuatkuasaan terhadap keputusan Sultan Pahang itu. "Keputusan itu sudah jelas dan pihak kementerian hanya menguatkuasakan apa yang sudah diputuskan. Tuan punya badan (Kartika) sendiripun sudah terimanya, jadi kita bertanggungjawab dalam bidang kuasa kita sahaja," katanya.

Petikan www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai