Sunday, April 11, 2010

TUJUH WASIAT RAJA RAJA MELAYU

Teks titah Raja Muda Perak, RAJA DR. NAZRIN SHAH di Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran syed Hussein Alatas di Dewan Pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka (petikan Utusan Malaysia).

BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas seterusnya menyempurnakan pelancaran karya-karya terpilih tulisan Allahyarham yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak buat kali ketiga.

Tiga karya tersebut adalah pemerhatian dan kupasan Allahyarham yang menyentuh Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun dan Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi. Seminar ini berlangsung dalam dua persekitaran yang sangat signifikan

Persekitaran pertama: Persekitaran masa bahawa seminar ini diadakan dalam suasana negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52. "Kemerdekaan" itu mempunyai pelbagai erti dan terdedah kepada pelbagai fahaman.

Zurinah Hassan dalam puisi beliau berjudul Kemerdekaan mengingatkan bahawa 'kemerdekaan' bukan sekadar gegak gempita menurunkan Union Jack atau setiap 31 Ogos dengan perbarisan raksasa dan kibaran bendera pada tiang tertinggi di dunia.

`Kemerdekaan' itu sewajarya mengingatkan warga kepada nama-nama Dol Said, Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato' Sagor, Ngah Jabur, Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau, Tuk Janggut, Tunku Kudin dan ratusan patriot tak bernama, bermandi darah bergadai nyawa untuk membayar harga yang termahal, harga kemerdekaan negara.

`Kemerdekaan' itu sangat besar pengertiannya dalam pemikiran, pendirian dan amalan harian Syed Hussein Alatas kerana Syed Hussein itu sendiri adalah nama atas batang tubuh yang berumahkan jiwa merdeka.

Jiwa merdeka yang memiliki minda yang teguh berpegang kepada prinsip kebebasan berfikir. Prinsip kebebasan berfikir yang dijadikan kompas penting memandu arah kehidupan beliau di samping berusaha untuk menjadi nakhoda membantu pemikiran bangsanya dalam melayari lautan hidup yang penuh gelora.
Gelombang perjuangan kemerdekaan senantiasa berombak di dadanya, demi memastikan terbinanya warga merdeka -- bangsa merdeka di atas bumi yang telah diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka.

Jiwa merdeka dan minda merdekanya berlabuh dengan identiti bangsa -- bersauh dengan syariat agama, terus menuntut kepada keadilan sosial, supaya kemerdekaan itu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran serta kebahagiaan agar bangsanya tidak tertindas lagi dalam bentuk perhambaan baru.
Dalam persekitaran menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnyalah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpadam daripada sejarah.

Sesungguhnya tarikh 5 Ogos yang berlalu semalam, tarikh berlangsungnya seminar ini adalah tarikh keramat, tarikh yang amat penting dalam sejarah kemerdekaan negara bangsa di tanah dan air yang bernama Tanah Melayu.
Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat 'Negeri Melayu Bersekutu' dan lima 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi:

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu adalah seperti berikut:
"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mans jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera."

TUJUH PERKARA ITU ADALAH:
Pertama:
Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumf yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA).

Kedua:
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIM-PANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ketiga:
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Keempat:
Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.

Kelima:
Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan.

Keenam:
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.

Ketujuh:
Kami amanahkan dan kami pertanggung-jawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

SILA BACA SEPENUHNYA DI SINI
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai