Tuesday, June 29, 2010

Penjara Pudu bukan Warisan Bernilai !: Rais Yatim


Penjara Pudu Tiada Ciri Warisan Yang Bernilai: Rais Yatim

KUALA LUMPUR Jun 2010: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menolak tanggapan bahawa Penjara Pudu yang berusia lebih 100 tahun adalah sebuah bangunan warisan.

Beliau berkata sesuatu yang dianggap warisan mestilah mempunyai ciri-ciri kebangsaan yang besar nilainya, ciri-ciri sejarah yang membentuk masyarakat serta nilai estetika dan nilai seni bina.

"Penjara semata-mata bukanlah merupakan satu warisan yang boleh melonjakkan nilai nasional atau nilai estetika. Namun demikian bagi mereka yang mempunyai kerinduan di zaman lampau, kita boleh menggunakan pintu gerbang sebagai satu preservasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 bagi warga kementerian itu di Istana Budaya di sini hari ini.

Rais berkata Uda Holdings Berhad bebas membuat sebarang pembangunan di tapak penjara itu tetapi kementerian telah memaklumkan kepada syarikat itu agar pintu gerbang penjara itu dirizabkan dan diletakkan di tempat yang sesuai.

"Tidak usah gundah-gulana tentang Penjara Pudu sebagai satu bab warisan, saya kira rakan-rakan suarakan perkara ini tanpa tentukan isian kehidupan sebenar. Seseorang yang tahu tentang Pudu saya kira mereka lebih gemar kalau Penjara Pudu itu tidak tampak lagi dalam khalayak pada hari ini," katanya.

Minggu lepas, tembok Penjara Pudu sepanjang kira-kira 300 meter, telah dirobohkan oleh kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi membina laluan bawah tanah di Jalan Pudu. Penjara Pudu dibina pada 1895. - BERNAMA


Bookmark and Share



 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai