Saturday, November 6, 2010

Perlembagaan Persekutuan Adil Kepada Semua

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, Perlembagaan Persekutuan adil bagi semua kaum dan ia bukan memberi hak istimewa kepada orang Melayu atau bumiputera semata-mata. Katanya, apabila keistimewaan diberi kepada satu-satu kaum, masyarakat lain juga diberi keistimewaan dan dilindungi melalui perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ramai yang bercakap berkenaan bahagian-bahagian yang tidak boleh dipinda tetapi ramai tidak ambil kira tentang peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan negara yang begitu adil.
"Tiada perlindungan bagi hak sesuatu kaum yang tidak diimbangi dengan hak kaum lain," katanya dalam blog http://chedet.co.cc.

Menurut Dr. Mahathir, kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa tuntutan untuk meminda Perlembagaan negara bagi melucutkan keistimewaan mana-mana kaum tidak mungkin dilakukan adalah benar. Katanya, tuntutan seperti itu hanya akan memburukkan hubungan antara kaum tanpa memberi manfaat kepada sesiapa.

"Jika Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dianggap rasis (dan saya juga rasis kerana bersekongkol dengannya) kerana mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, mereka yang bercadang untuk melucutkan hak orang Melayu tetapi tidak hak istimewa mereka sendiri tentulah bersifat rasis juga.

"Hanya mereka yang bercadang melucutkan hak istimewa semua kaum sahaja yang tidak rasis," katanya. Jelasnya, antara asas yang menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah adil kepada semua kaum ialah bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi negara manakala bahasa lain juga boleh digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

"Sekolah kebangsaan ialah sekolah yang mengguna bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar manakala sekolah-sekolah jenis nasional boleh mengguna bahasa Cina dan bahasa Tamil. "Perlembagaan negara juga melindungi hak memiliki hartanah oleh semua kaum supaya pengambilan tanah oleh kerajaan tidak boleh dibuat tanpa pampasan," katanya.

Sumber : utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai