Friday, December 10, 2010

Gendang Tradisional Temasya

Temasya Pantai Timur mencatat sejarah tersendiri apabila persembahan gendang tradisional sempena majlis perasmiannya hari ini direkodkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai persembahan gendang teramai yang pernah diadakan.

Pada persembahan tersebut, seramai 780 pemain gendang yang melibatkan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang menunjukkan persembahan mantap dengan menggabungkan gendang pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, dan India.

Persembahan yang berlangsung di Taman Budaya, Kuala Ibai itu dijayakan di bawah pimpinan ahli muzik terkenal, Rosli Selasih. Difahamkan, persembahan tersebut telah berjaya mengatasi rekod persembahan gendang tradisional sebelum ini yang melibatkan seramai 400 peserta. Pada acara tersebut, ketiga-tiga buah negeri mempamerkan persembahan mewakili negeri masing-masing dengan Terengganu mempersembahkan permainan gendang Melayu, Cina, Orang Asli, India dan Siam.

Pahang pula mempersembahkan gendang 24 musim yang mewakili masyarakat Cina serta gendang Orang Asli. Kelantan pula menampilkan persembahan rebana ubi, kertuk, kercing, gendang silat, dikir barat, wayang kulit dan mak yong. Temasya Pantai Timur yang berlangsung selama tiga hari itu dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Pada temasya tersebut, pelbagai pertunjukan kebudayaan dipersembahkan dengan tarian dan nyanyian tradisional negeri masing-masing yang diberi sentuhan moden sejajar dengan konsep 1Malaysia.

utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai