Friday, December 10, 2010

Sultan Johor Jelaskan Istilah Kedaulatan Melayu

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung soal kedaulatan Melayu sangat akademik dan berasaskan faktor sejarah. Katanya, titah ucapan Sultan Johor mengenai isu berkenaan turut menjelaskan istilah sebenar kedaulatan Melayu agar lebih mudah difahami tanpa sebarang kontroversi.

"Saya sokong penuh titah ucapan Sultan Ibrahim mengenai istilah paling sesuai bagi kedaulatan Melayu dan maksud ketuanan Melayu itu adalah daulat yang ada dalam Perlembagaan. "Sebenarnya ia (kedaulatan Melayu) lebih mudah difahami, tiada soal hamba atau tuan dan ia tak sepatutnya jadi kontroversi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Ihsan Kembali ke Sekolah untuk mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazrina Mat Haizan, 8, di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran mengulas titah ucapan Sultan Ibrahim yang mengingatkan orang Melayu bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu. Titah baginda, berdasarkan perkembangan semasa, terdapat orang Melayu yang mahu menolak kedaulatan kaum tersebut seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Mohd. Puad seterusnya menjelaskan, istilah kedaulatan Melayu tiada kaitan dengan 'hamba atau tuan' sebaliknya beliau merujuk kepada pengertian sesebuah wilayah yang diancam pihak luar. Ia seperti kedaulatan wilayah yang menerima ancaman pihak luar, maksudnya kita kena jaga apa saja yang ada, bukannya tuan atau hamba," ujarnya.

utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai