Monday, December 20, 2010

Muhasabah Diri

BERMUHASABAH atau membuat perkiraan, perhitungan dan pertimbangan terhadap amalan dilakukan dalam urusan ibadat atau muamalat sesama manusia sangat digalakkan bagi merenung kembali dan memperbaiki semua amalan dilakukan kepada Allah.

Dalam kehidupan ada kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan sama ada secara sengaja atau tidak yang harus diperbaiki. Melalui amalan muhasabah, amalan baik dilakukan dapat dipertingkatkan sementara yang negatif, ditinggalkan. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Masa yang sebaiknya untuk menilai semua aktiviti dilakukan dalam sehari adalah pada waktu tengah malam dan waktu sunyi tanpa gangguan orang lain. Renung kembali segala amalan dan perbuatan dilakukan sejak awal pagi hingga hendak melelapkan mata. Jika apa yang dilakukan sepanjang hari mengandungi kecacatan, hendaklah diperbaiki supaya tidak terus mengulangi kesalahan. Bagi amalan baik yang dilakukan, perlu dipertingkat supaya dapat mencapai kemanisan iman dalam melaksanakan amal ibadat kepada Allah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik) sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya.” (Riwayat Asy Syihaab)

Setiap kebaikan dilakukan mesti bersih dan menepati kehendak syariat, bermula daripada pegangan hidup yang melangsungkan hubungan pertalian dengan Allah supaya tidak berlaku titik noda dan dosa. Saidina Umar Al-Khattab berkata: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan (pada hari akhirat) dan timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbangkan (pada hari akhirat) dan bersedialah untuk menghadapi hari kiamat.”

Sesungguhnya, muhasabah boleh dilakukan terhadap diri, amalan hidup dan kurniaan Ilahi. Rasa kesyukuran dan keinsafan pasti lahir hasil daripada muhasabah yang dilakukan.

Sumber : bharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai