Monday, January 3, 2011

Dakwa Penderhaka Sultan

Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini mencadangkan beberapa tindakan tegas diambil ke atas pihak yang menghina serta menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Muhammed Khusrin Munawi.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, semua pihak yang mengugut dan menentang perkenan Sultan Sharafuddin dalam isu tersebut perlu didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana ‘Perbuatan memerangi Raja-Raja Melayu’ yang jika sabit kesalahan, hukumannya gantung sampai mati.

Selain itu katanya, pertuduhan alternatif juga boleh dibuat di bawah Seksyen 121 (1B) kerana ‘merancang, mengada-ada, mereka-reka atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan raja pemerintah sebuah negeri’ yang jika sabit kesalahan, hukumannya pula adalah penjara seumur hidup.

“Ini bukan perbuatan yang boleh dibiarkan, apatah lagi bertolak ansur, kerana amat biadab lagi kurang ajar bagi mana-mana rakyat di negeri Selangor melakukan perbuatan derhaka seperti itu. Jangan biarkan mereka ini terus memaki-hamun dan mempertikai kedudukan sultan kerana kelak ia menjadi barah.

“Bagi maksud ini, teman (saya) mencadangkan kepada mana-mana rakyat Selangor supaya membuat laporan polis menurut Seksyen 121 atau Seksyen 121 (1B) supaya tindakan segera boleh diambil. Kita tidak mahu sejarah membaringkan diri di bawah kereta sultan berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com, bagi menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap beberapa pemimpin pembangkang yang berterusan mempertikai, menentang serta mengugut Sultan Selangor dalam isu pelantikan Mohammed Khusrin.

Antara paling biadab ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang mendakwa, ketegasan Sultan Sharafuddin untuk tidak berganjak daripada keputusannya merestui pelantikan Mohammed Khusrin, biarpun mendapat pelbagai kecaman daripada pembangkang, sebagai ego.

Malah, tidak cukup dengan kebiadaban itu, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut juga menyifatkan pelantikan SUK baru berkenaan sebagai bukti tindakan pilih kasih yang diamalkan oleh institusi beraja Selangor terhadap pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, jika pemimpin pembangkang masih hendak mempolitikkan isu tersebut serta sengaja mahu menimbulkan ketegangan, beliau mencadangkan darurat diisytiharkan di negeri Selangor dan dilantik sebuah Majlis Gerakan Negeri untuk mentadbir negeri buat sementara.

Kuala Lumpur | 2 Januari 2011 | utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai