Wednesday, March 16, 2011

PELAJAR WAJAR FAHAMI ARTIKEL 153

MELAKA 15 Mac – Golongan pelajar wajar didedahkan mengenai kepentingan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti yang terkandung dalam Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, perkara tersebut wajar difahami oleh golongan pelajar yang merupakan pewaris negara supaya mereka memahami tujuan ia diwujudkan. Menurutnya, program Wacana 153 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) adalah langkah yang bijak dan wajar bagi memberi kesedaran kepada golongan tersebut.


Program yang diadakan hari ini adalah sempena menyambut tarikh yang mengingatkan kita kepada peristiwa wujudnya Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia amat penting untuk diketahui oleh golongan pelajar. Mereka wajar menghayati pengertian Artikel 153 kerana ia amat penting kepada orang Melayu,” katanya dalam ucapan perasmian Wacana 153 anjuran GPMS di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KYM International), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Abdul Wahab Abdul Latip. Pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 pelajar itu juga diadakan forum Wacana 153 bertajuk Jurang Pembangunan dan Kewajipan Melaksanakan 153. Panel terdiri daripada Penasihat GPMS, Yusuf Suhaimi; peguam, Prof. Shaharuddin Ali [SHALI] dan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, ramai pelajar tidak mengetahui makna dan nilai Artikel 153 yang bertujuan melindungi kepentingan orang Melayu.
Menerusi wacana tersebut, katanya, pelajar bukan sahaja dapat menghayati Artikel 153 tetapi membangkitkan semangat untuk memperjuangkan nasib kaum Melayu.

www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai