Monday, March 14, 2011

LAPORAN DARI BRUNEI - ANALISIS POLITIK MELAYU DISINI

CATATAN DARI JIRAN - BRUNEI

[Di Malaysia], beberapa isu yang seakan-akan mempertikaikan ketuanan orang Melayu yang secara langsung atau tidak langsung, turut berkait dengan institusi raja, telah begitu banyak diperdebatkan oleh beberapa pihak khususnya dari kalangan pihak pembangkang bukan Melayu.

Isu-isu seperti kenyataan bahawa bukan Melayu boleh menerima konsep pemerintahan Melayu tapi bukan Ketuanan Melayu, isu hak istimewa orang-orang Melayu dalam perlembagaan negara yang dipertikaikan dan digesa supaya dimansuhkan, isu kouta kemasukan ke pusat-pusat pengajian tinggi yang digesa dimansuhkan dan diganti dengan prinsip meritokrasi, isu bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang diminta tidak dihadkan hanya kepada Bahasa Malaysia, dan gesaan agar prinsip Dasar Ekonomi Baru di mansuhkan agar ianya memberi keadilan kepada semua kaum yang membentuk masyarakat Malaysia – adalah antara beberapa isu yang ditafsirkan sebagai boleh menggugat institusi raja dan aspek ketuanan Melayu di Malaysia.

Paling terbaru, masyarakat Melayu di negara jiran kita itu dikejutkan dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli politik pembangkang bukan Melayu yang menyifatkan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 1970 sebagai satu dasar yang menyerupai aparteid.

Kenyataan tersebut yang berslogankan kata-kata “bumiputeraisme vs aparteid” disifatkan sebagai sesuatu yang dangkal, tidak memahami prinsip dan tidak mahu menerima fakta berkaitan kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang bukan sahaja menyumbangkan manfaat kepada orang-orang Melayu, tetapi juga terhadap bukan Melayu.

Mereka berhujjah misalnya, sebelum seseorang kontrektor Melayu menikmati bayaran keuntungan dari projek yang dilaksanakan, maka pembekal--pembekal bahan binaan dan seumpamanya yang terdiri dari kalangan pembekal/peniaga bukan Melayulah yang terlebih dahulu menikmati keuntungan dan manfaatnya.

Umat Melayu di Malaysia kebelakangan ini juga diperhatikan sering berada dalam tekanan dan keresahan bilamana satu persatu perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara cuba dipertikaikan dari masa ke semasa oleh mereka yang cuba mengambil pendekatan baru dalam perjuangan politik mereka.

Keadaan ini disifatkan sebagai sesuatu yang mendukacitakan, lebih-lebih lagi mengambil kira Malaysia dengan masyarakatnya yang berbilang kaum itu telah lebih dari setengah abad berkongsi hidup dalam membawa pembangunan dan kemakmuran kepada negara.

Harapan banyak kalangan kini adalah supaya setiap pihak benar-benar mematuhi prinsip undang-undang dan keadilan disamping menghormati perlembagaan dan kedaulatan raja dalam apa jua tindakan dan matlamat politik masing-masing bagi menjamin suasana damai yang dilalui oleh negara jiran itu pada masa ini akan kekal berpanjangan

Dalam konteks yang lain, kepimpinan NDP sewajarnya mengambil iktibar dari apa yang berlaku di negara jiran kita itu. Segala-galanya seperti berputar kencang hanya selepas 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya - satu putaran masa sejarah yang amat singkat. Kita gerun. Betapa tidaknya, sesuatu yang kita tidak terfikir 25 tahun dahulu, mungkin saja akan berlaku pada tahun 2035 kelak!.

Justeru itu demi kesedaran untuk memperkasa dan mempertahankan surviviliti negara bangsa kita yang berpaksikan Melayu Islam Beraja, pada hari ini, jam ini dan saat ini, tanpa kompromi, kita memerlukan pemimpin-pemimpin yang berpandangan jauh, futuristic, berintergriti, berani, bijaksana, setia dan ikhlas dalam membantu Kebawah DYMM Baginda Sultan Brunei dan Yang Di Pertuan dan Ulil Amri kerana Allah jua. Wallahu a’alam



SUMBER (C) 2011 - Web, parti NDP Brunei

Catatan - Parti NDP Brunei -seperti yang termaktub dalam Artikel 4.1 dan Artikel 4.2 perlembagaan Brunei, NDP diwujdukan untuk mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri di Negara Brunei Darussalam buat selama-lamanya.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai