Tuesday, July 26, 2011

Majlis Perasmian Bulan Membaca

Dengan rasa berbesar hati, KUMPULAN RAJAMENANGIS telah menerima undangan SMK Seksyen 24 (2), Shah Alam baru-baru ini. Majlis Perasmian Bulan Membaca Peringkat Sekolah 2011 disempurnakan oleh Prof Shaharudin b Datuk Hj Ali (Shali) di hadapan ratusan pelajar sesi pagi.

Ia berlangsung di Dataran Jauhari. Kehadiran Shali pada pagi itu disambut oleh Pengetua, Pn Haznah bt Hamzah, Pn Norusaadah bt Sahroni dan beberapa guru AJK Pelaksana majlis tersebut. Setelah bacaan doa dan ucapan Pn Pengetua, Shali memberikan sepatah dua kata.

Seterusnya beliau merasmikan Bulan Membaca dengan gimik menyusun huruf menjadi perkataan IQRA.
Di samping itu, KUMPULAN RAJAMENANGIS dengan kerjasama Grup Buku Karangkraf (GBK) telah sudi menyumbangkan buku-buku dalam 12 tajuk berbeza (setiap tajuk sebanyak 3 buah) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM400. Penghargaan yang tinggi buat usaha murni pihak BGP itu. Mereka juga telah mengadakan jualan buku-buku untuk guru-guru dan pelajar sekolah tersebut.

Antara objektif Bulan Bahasa adalah menanam minat membaca dalam kalangan warga sekolah, menggalakkan pelajar dan guru membaca bahan bacaan berkualiti dan bermaklumat, menyerlahkan kebolehan dan bakat warga sekolah melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, menanamkan sikap kerjasama antara pengawas Pusat Sumber Sekolah semasa melaksanakan aktiviti dan menambahkan ilmu pengetahuan dalam kalangan warga sekolah.

Pihak sekolah turut menjemput Pn Norzailina Md Nordin (Zai) untuk mengendalikan Bengkel Penulisan Novel dan Cerpen. Ia dihadiri oleh kira-kira 40 orang pelajar yang berminat dalam bidang penulisan. Setelah Pn Zai menamatkan sesi bengkel yang berlangsung selama 1 jam 30 minit, pelbagai soalan telah diajukan oleh para pelajar. Kebanyakan daripada mereka ingin mengetahui pengalaman yang telah beliau lalui selama 19 tahun menjadi seorang penulis novel dan buku-buku masakan.

Terima kasih diucapkan kepada SMK Seksyen 24 (2) Shah Alam diatas kesudian menjemput KUMPULAN RAJAMENANGIS bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Semoga kunjungan Shali dan Zai ke situ memberi manfaat buat guru-guru dan khasnya pelajar-pelajar.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai