ARTIKEL KUMPULAN RAJAMENANGIS TELAH TERSIAR :
BULAN Ogos bakal tiba lagi. Tarikh 31 Ogos setiap tahun disambut meriah oleh setiap golongan masyarakat, tidak kira di kota mahu pun di desa. Di sana sini di atas jalan raya, kita melihat kenderaan dihiasi bendera kecil Malaysia.
Isunya, berapa ramaikah rakyat Malaysia meletakkan bendera pada kenderaan mereka, terutama kereta persendirian? Bagaimana pula dengan kenderaan awam seperti teksi? Bendera adalah lambang kebanggaan negara. Bercakap tentang kenderaan persendirian, timbul pula persoalan tentang mereka yang menunjukkan sikap 'cinta dan bangga' ini.
Pernahkah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional membuat kaji selidik bagi mengenalpasti siapakah di kalangan rakyat negara ini yang mengibarkan bendera pada kenderaan masing-masing? Mengibarkan bendera mempamerkan semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan. Statistik wajar diperoleh supaya kita tahu siapakah yang paling tinggi menunjukkan semangat kebangsaan mereka.
Siapakah yang paling ketara hadir di majlis-majlis dan acara acara patriostisme kebangsaan? Kita tertanya-tanya kenapa dalam demonstrasi jalanan baru-baru ini, bendera Malaysia begitu gah dikibarkan dan ditonjolkan. Tetapi ketika menjelang 31 Ogos, hanya segelintir yang berbuat demikian?
Ada pula di kalangan anasir yang mengacau ketenteraman negara menonjolkan Jalur Gemilang semasa tunjuk perasaan tetapi tidak pula semasa minggu merdeka. Inilah yang menjadi persoalan dalam kita mentafsir kesetiaan kepada negara.
Kesetiaan kononnya kepada Jalur Gemilang ketika perhimpunan haram ala tunjuk perasaan adalah perbuatan murahan yang paling busuk di mata pejuang dan pencinta tanah air. Manusia seperti ini tidak berprinsip dan mempergunakan sesuatu agenda untuk kepentingan sempit politik mereka sendiri.
Kerajaan Malaysia seharusnya berikhtiar untuk menambah jumlah mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang. Misalnya, dengan sumbangan oleh stesen minyak yang memberikan bendera secara percuma, kerana di sinilah kereta berhenti.
Selain mempamerkan semangat kebangsaan mencintai negara, secara tidak langsung usaha itu juga dapat meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat, kerana Jalur Gemilang tidak pernah mengira siapa dan bangsa apa.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm