Tuesday, October 18, 2011

SEJUTA MELAYU AKAN BERHIMPUN 22 OKT INI

Himpunan Sejuta Umat satukan orang Islam hadapi gerakan Kristianisasi 

PERHIMPUNAN DI LULUSKAN POLIS 

BANGI, 2 Oktober – Satu perhimpunan yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) akan diadakan pada 22 Oktober depan sebagai suatu inisiatif gabungan NGO-NGO Islam bertujuan untuk menyatukan umat dalam menghadapi ancaman terhadap kedaulatan agama Islam terutamanya gerakan Kristianisasi.

Menurut Timbalan Presiden ISMA, Tuan Hj. Aminuddin Yahaya yang juga merupakan Setiausaha Sekretariat HIMPUN, peristiwa 3 Ogos 2011 yang membabitkan pemeriksaan JAIS ke atas premis Dream Centre yang dimiliki Damansara Utama Methodist Church membuka mata banyak pihak tentang kegiatan Kristianisasi di kalangan orang-orang Islam.

“Peristiwa tersebut adalah rentetan kepada pelbagai peristiwa sebelumnya seperti kes Lina Joy, Nor Aishah Bukhari, isu Al-Kitab, isu penggunaan kalimah Allah dan pelbagai lagi dapatan yang menggusarkan kita.”

Justeru itu, kata beliau, HIMPUN diadakan bagi menzahirkan kekuatan akidah dan kesatuan umat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa seandainya isu ini tidak ditangani segera.

“Perhimpunan itu juga akan menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya bagi mengelakkan isu akidah ini berterusan menjadi modal politik, kerana kita melihat parti-parti politik cuba mengambil kesempatan meraih sokongan rakyat untuk tujuan politik mereka.”
Himpunan Sejuta Umat ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor bermula daripada jam 2 petang hingga 6 petang.

Sehubungan dengan itu, Tuan Hj. Aminuddin mewakili Sekretariat HIMPUN menjemput orang ramai terutamanya di kalangan umat Islam untuk bersama-sama hadir ke perhimpunan ini.

Perhimpunan ini, menurut beliau, turut mendapat sokongan daripada Mufti-Mufti seluruh negara dan pelbagai NGO Islam termasuk Teras Pengupayaan Melayu Malaysia (TERAS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai