Showing posts with label tanah melayu. Show all posts
Showing posts with label tanah melayu. Show all posts

Wednesday, November 25, 2009

Foto ekslusif Merdeka! di Stadium


Pengistiharan Kemerdekaan

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.

7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.

9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.

Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.

Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Saturday, October 31, 2009

Kedatangan Minangkabau ke N.Sembilan

Maksud Nagari dalam Minangkabau : satu penempatan sebelum menjadi Nagari mesti melalui satu proses Metamorsis.
Taratak mula dibuek

sudah taratak menjadi kampuang

sudah kampuang menjadi dusun

sudah dusun menjadi koto
sudah koto menjadi nagari ...


Semasa Kesultanan Melaka, penduduk Rembau merupakan Jakun di bawah pimpinan Batin Tok Pak Tinggam. Nama lama Rembau adalah Prabu. Abad ke 16 Rembau di bawah pimpinan Batin Sekudai. Masa ini masih jajahan Melaka dan Tun Jenal menjadi wakil Melaka dengan gelaran Tun Rembau diam di Lubok Cina.

Nama asal Rembau bermula daripada sebatang pokok Merbau Tua yang besar menaungi hampir 10 buah kampung. Masa untuk menebang pokok mengambil masa hampir 1 bulan. Tapak pokok boleh dihidang hampir 12 dulang. Ini bukan dongeng kerana semasa penduduk kawasan membajak, masih terdapat batang pokok yang tidak hancur. Kapak yang digunakan untuk menebang pokok masih ada.

Masa inilah keluarga Jakun yang ingin membuka kampung disuruh meniti sepanjang pokok; tiba di hujung bolehlah dibuat perkampungan. Sampailah di Sg Ujung.
Orang Minangkabau yang pertama datang ke Negeri Sembilan iatu Rembau adalah Datuk Leteh. Datuk Leteh dan org Minangkabau telah hidup harmoni bersama orang Jakun sehinggakan Batin Sekudai menyerahkan anaknya Datuk Bungkal sebagai anak angkat Datuk Leteh.

Orang Minangkabau yang kedua datang ke Rembau adalah Datuk Lela Bangsa dari suku Batu Hampar menetap di Penajis. Beliau dikahwin dengan Datuk Bungkal dapat anak lelaki Seri Rama (Penghulu Rembau yang Pertama). Kedatangan beliau diikuti oleh Datuk Laut Dalam dari suku Paya Kumbuh menetap di Legung. Dalam tahun 1540 Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah pergi mengadap Sultan Alauddin Riayat Shah untuk menyatakan hasrat orang Minangkabau melantik penghulu.

Permohonan ini telah di persetujui oleh Sultan dan Seri Rama menjadi Penghulu yang pertama dengan gelaran Datuk Lela Maharaja (Suku Biduanda Jakun). Oleh sebab beliau msh kecil diwakilkan oleh Datuk Lela Balang dengan gelaran Datuk Gempa Maharaja. Apabila Datuk Laut Dalam tak setuju beliau pun mengadap sultan dan meminta keturunannya juga layak untuk menjadi Penghulu dengan syarat dikahwinkan Seri Rama dengan anak Datuk Laut Dalam dan anak lelaki yang pertama akan menjadi penghulu dengan gelaran Datuk Sedia Raja (Biduanda Jawa). Datuk Lauta Dalam telah digelar Datuk Merbangsa.


Sumber : http://halaqah.net

Thursday, September 17, 2009

KUPASAN JATI DIRI MELAYU



Jati diri Melayu


Apabila kita berbicara secara lebih khusus siapa dia bangsa Melayu itu, maka kita bertanya apakah yang dikatakan jati diri bangsa Melayu itu? Dalam hal ini kita melihat definisi yang sudah dibuat oleh beberapa orang sarjana berwibawa, dan cuba membuat definisi kita sendiri.

Mengenai pendapat sarjana yang mendefinisikan jati diri Melayu itu, kita dapat merujuk kepada beberapa buah makalah dalam Contesting Malayness diedit oleh Timothy Barnard dan terbitkan oleh University of Singapore Press (2004). Dalam buku itu Barnard dan Maier mengatakan bahawa para sarjana dunia Melayu ini “terlibat memikirkan ciri dunia Melayu yang terus berubah bentuk.

Setiap orang menimbulkan isu pokok mengenai bagaimana jati diri dan dunia Melayu itu dapat difahami, sama ada dari segi bahasanya, perniagaannya, penjajahannya, aktiviti melanunnya, kesusasteraannya atau negara bangsa modennya.” (Terjemahan bebas pengarang).

Namun, dalam persepsi para sarjana ini tidak ada ciri agama, adat dan kebudayaan yang kita bincangkan. Pada hal, dalam buku-buku yang membincangkan jati diri bangsa, dan Perlembagaan Malaysia, unsur agama, adat dan budaya itu adalah ciri penting, iaitu yang dikatakan Melayu itu adalah orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.

Dalam sebuah makalah lain dalam buku yang sama Shamsul Amri Baharuddin (2004) mendeskripsi jati diri Melayu dengan lebih lanjut. Menurut beliau jati diri Melayu seperti yang kita ketahui sekarang adalah sebenarnya persepsi yang dibuat dan dipaksakan ke atas kita oleh para orientalis dan pentadbir penjajah Inggeris.

Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita.

Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisikan diri dan dunia kita sendiri.

Beliau menyatakan lagi bahawa, dalam sejarah, terakam apa yang mereka lakukan. Ada tiga perkara penting yang mereka lakukan, iaitu: a. Membuat kajian dan laporan rinci mengenai sistem kuasa pemerintahan dan adat istiadat tempatan, sejarah, sistem pemilikan tanah, sistem pawahan dan pungutan hasil; b. Membuat deskripsi rinci mengenai tamadun peribumi, yang kemudiannya memberi Inggeris kuasa dalam mentamadunkan wilayah yang mereka jajah; dan c. Mengenal pasti tokoh, pejuang dan pemberontak, dan membina lambang-lambang kewujudan dan kekuasaan mereka di wilayah Melayu.

Tegasnya, dengan demikian mereka dapat mewajarkan tatacara mereka mentadbir jajahan yang mereka takluki. Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengkaji dan mengklasifikasi segala aspek kehidupan di dunia Melayu; dalam bidang zoologi, geologi, botani, ekonomi, sejarah dan sosiologi dengan menjalankan survei yang sistematik.

Mereka menyusun atur penjadualan jajahan itu supaya mereka dapat membuat ramalan dan penentuan daripada segi ekonomi, sosial dan politik. Banci penduduk yang mereka kendalikan, merakamkan ras, kaum, etnik, agama, dll., dapat membolehkan Inggeris mengkategorikan orang Melayu dan Peribumi lain untuk tujuan pentadbiran mereka.

Akhirnya, langkah yang melakri jati diri Melayu itu adalah peristiwa apabila penjajah Inggeris meluluskan Enakmen Rezab Melayu pada tahun 1913. Melalui Enakmen itu Inggeris dapat menentukan: a. Siapa orang Melayu, b. Siapa yang boleh menanam padi atau getah; dan c. Harga tanah.

Seterusnya, definisi jati diri Melayu itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, yang kemudiannya menentukan siapa yang dianggap Melayu dan bumiputera, dan siapa yang berhak mendapat biasiswa dan membeli tanah di kawasan rezab Melayu, dengan nilai tertentu, dan lain-lain.



(c) http://profabdullah1.wordpress.com/2009




 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai