Saturday, October 3, 2009

BUKU FOTO KENANGAN NEGERI MELAYU 1900

Raja Nazrin lancar buku muatkan gambar koleksi Sultan Selangor


Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Nazrin Shah melihat buku Malay Peninsula: Old Photographs of Malaya and Singapore By Kleingrothe di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Okt. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah melancarkan buku Malay Peninsula: Old Photographs of Malaya and Singapore By Kleingrothe yang memuatkan gambar-gambar lama Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Ia mengandungi 139 keping gambar koleksi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dirakam oleh jurugambar C.J. Kleingrothe pada awal tahun 1900.

Sultan Sharafuddin yang turut berkenaan menyaksikan pelancaran buku itu ditemani oleh anakanda baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Raja Nazrin dalam titahnya memberitahu, buku itu merupakan satu lagi projek Sultan Selangor yang amat berminat dalam sejarah negara.

“Negara sekali lagi berhutang dengan seorang Sultan yang sudi berkongsi koleksi gambar yang cantik dan memperlihatkan rasa cinta serta mengambil berat seorang Sultan terhadap rakyat dan negara.

“Sultan Selangor merupakan pengumpul bahan-bahan sejarah dan pelbagai barang yang mempunyai nilai tinggi, sekiranya hilang tidak akan dapat ditemui lagi, baginda percaya bahawa bahan-bahan sejarah ini perlu dipelihara,” titah Raja Nazrin.

Koleksi gambar milik Sultan Selangor itu diperolehi apabila baginda membeli sebuah kotak mengandungi gambar-gambar yang diambil oleh Kleingrothe, seorang jurugambar berbangsa Jerman berpangkalan di Medan, Sumatera.

Raja Nazrin bertitah, gambar-gambar yang terkandung di dalam buku tersebut mengenai suasana Tanah Melayu yang tidak lagi wujud sekarang iaitu mengenai rakyat, landskap, seni binaan dan teknologi yang ada pada zaman tersebut.

Salah satu gambar yang paling disukai baginda adalah mengenai bandar Batu Gajah.

“Gambar mengenai Batu Gajah, sebuah bandar yang aman dan damai di mana ayahanda patik, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dilahirkan dan membesar.

“Gambar tersebut menunjukkan suasana kebun-kebun getah dan lombong bijih timah serta didiami dengan aman damai oleh rakyat berketurunan Melayu, Cina, India dan Sikh,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, gambar-gambar itu menunjukkan bagaimana nenek moyang berkorban untuk membina negara seperti yang diwarisi sekarang.


Sumber: Arkib Khas: (c) 2009 Utusan Malaysia

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai