Dokoh adalah hiasan di leher yang terkenal semenjak 200 tahun lampau khususnya di pantai timur. Ia seutas rantai dan dihiaskan dengan beberapa rekabentuk sampingan yang dicantumkan di tingkat pertengahan kiri dan kanan rantai.
Manakala di bahagian bawahnya disediakan pula kepingan yang bertingkat-tingkat ataupun hanya terdiri daripada satu atau dua keping sahaja. Kepingan dokoh ini biasanya dihiasi dengan corak yang bermotif daun sukun dengan menggunakan berbagai-bagai teknik.
Di antara teknik yang paling popular ialah pahat silat yang berunsurkan berbagai-bagai variasi motif alam semula jadi. Ada dokoh berbentuk tiga segi dan bercorak bulan sabit atau daun-daun yang menarik. Sudah menjadi amalan tukang-tukang untuk merekacorakkan dokoh dengan berbagai-bagai ragam hias dan ada di antaranya bertatahkan batu permata yang berwarna-warni.
Dokoh tiga tingkat merupakan hiasan bagi pengantin perempuan dan juga pengantin lelaki untuk menimbulkan keserian. Ia terdapat di seluruh Nusantara dan dikatakan diperkenalkan oleh orang India seolah-olah menggantikan kalungan bunga malai.
Dokoh dua atau tiga tingkat tidak begitu berat jika dibandingkan dengan dokoh yang hanya satu keping yang biasanya dibentuk secara tiga dimensi untuk membolehkan damar cair dituangkan ke dalamnya supaya menjadi tegap dan berat.
Sumber foto: www.tkodaily.net