Thursday, December 16, 2010

Cubaan hapus ketuanan Melayu rosakkan keharmonian


Cubaan hapus ketuanan Melayu rosakkan keharmonian rakyat pelbagai kaum

KUALA LUMPUR: Cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghapuskan ketuanan Melayu boleh merosakkan ketenteraman dan menjejaskan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum kerana akan mencetuskan kebimbangan serta kerisauan yang tidak berkesudahan.
Tokoh bahasa, Prof Madya Dr Lim Swee Tin, berkata ahli politik sepatutnya bertanggungjawab mengurangkan kerisauan rakyat daripada beban memikirkan isu ketuanan Melayu yang disifatkannya sebagai lagu lama yang didendang semula.

“Perkara yang sudah dimuktamadkan biarkan saja, sebaiknya rakyat diberi peluang menguruskan kehidupan untuk bekerja demi pembangunan dan kesejahteraan negara, bukan dibebani dengan isu lapuk. “Malah, kebimbangan rakyat juga boleh membantutkan segala perancangan pembangunan negara kerana terlalu asyik menyelesaikan hal berkaitan ketidakstabilan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Swee Tin yang juga pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata tidak ada cacat celanya ketuanan Melayu, malah tidak membawa masalah kepada sesiapa sejak negara mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu.

“Mempertahankan ketuanan Melayu turut bermakna Raja-Raja Melayu terus dihormati dan disanjungi semua rakyat untuk memastikan kita kekal mempunyai tunggak yang nyata dan jelas selain menjamin kestabilan politik,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan sasar pada Kongres Nasional PKR di Petaling Jaya, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata konsep Ketuanan Melayu perlu dihapuskan supaya anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah’.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling pula melabel pemimpin PKR yang mencanang untuk menghapuskan konsep itu melakukan tiga kesalahan besar kepada bangsa Melayu.

“Tiga kesalahan itu ialah menyalah tafsir maksud ketuanan Melayu, bertindak seperti Pak Kaduk, Lebai Malang dan Pak Pandir yang menang sorak, kampung tergadai serta bertindak menjual bangsa dan negara sendiri kerana minda dijajah dan dipengaruhi ideologi asing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menegaskan, golongan yang menolak ketuanan Melayu juga menafikan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang menjadi lambang kekuasaan Melayu seperti yang termaktub Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula berpendapat ketuanan Melayu tidak lagi menjadi isu dalam persekitaran politik masa kini, malah boleh menjerat PKR pada pilihan raya umum akan datang.



(c) 2010 Oleh Norfatimah Ahmad
bharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai