Tuesday, February 15, 2011

Perpaduan kekuatan umat Islam – PM

Perpaduan kekuatan umat Islam – PM

KUALA LUMPUR 14 Feb 2011– Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kekuatan berpaksikan perpaduan menjadi rencah utama kepada usaha membawa transformasi murni kepada umat Islam di negara ini.

Justeru itu, Perdana Menteri mahu umat Islam menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon terbaik antara umat manusia kerana sirah perjuangannya telah membuktikan bahawa Baginda amat mengutamakan perpaduan antara umat berbilang kaum dan agama di Madinah.

Dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1432 Hijrah, beliau berkata, iktibar daripada perjuangan serta sirah Rasulullah SAW itu juga telah dilaksanakan di negara ini melalui penghayatan ‘1Malaysia, 1Ummah’.

“Mesej ini perlu dihayati dan disebarkan kepada seluruh dunia Islam,’’ kata Perdana Menteri dalam perutusan menerusi blog beliau, www.1malaysia.com.my hari ini.

Tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini ialah ‘1Malaysia, 1Ummah’.

Najib turut mengajak umat Islam di negara ini menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini sebagai pemangkin untuk melonjakkan transformasi negara secara holistik dalam semua bidang.

“Sebagaimana Rasulullah SAW merupakan insan yang hebat, maka kita juga perlu menjadi umat yang hebat.

“Saya mendoakan, agar sambutan Maulidur Rasul kali ini, benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Insya-Allah,’’ katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai langkah kerajaan menggerakkan usaha membawa pulang kira-kira 11,000 rakyat Malaysia dari Mesir ketika berlaku pergolakan di negara itu.

“Dalam era globalisasi ini apa sahaja krisis yang berlaku di negara lain akan dirasai impaknya di negara ini. Lihat sahaja apa yang terjadi di Mesir apabila ia turut memberi kesan langsung kepada 11,000 pelajar dan rakyat Malaysia di negara itu.


(c) 2011 Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
@utusan.com.my

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai