Tuesday, February 15, 2011

TITAH SEMPENA MAULIDUR RASUL

PUTRAJAYA 15 Feb. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah setiap rakyat Malaysia haruslah mengikis sikap curiga mencurigai antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk perpaduan sama ada di kalangan umat Islam mahupun sesama masyarakat.

Baginda bertitah sentimen perkauman yang sempit mestilah dibanteras daripada awal sebelum ia membarah dalam masyarakat.

"Bersamalah kita membina negara yang tercinta ini dengan nilai kasih sayang dan persefahaman. Perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina janganlah kita runtuhkan hanya kerana mencari keuntungan yang sementara,” titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bertemakan 1Malaysia 1Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana sambutan Maulidur Rasul memberi makna tersendiri kepada seluruh umat Islam dan bersama membuktikan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan seterusnya menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah bagi menegakkan Islam yang tercinta. - Bernama
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai