Showing posts with label sultan kedah. Show all posts
Showing posts with label sultan kedah. Show all posts

Tuesday, September 28, 2010

Perlantikan Ke Bawah DYMM Sultan Kedah

Mengikut Perkara 17, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Raja hendaklah seorang daripada bangsa Melayu dan berdarah Raja keturunan Pemerintah-Pemerintah Kedah dan laki-laki dan beragama Islam Ahli Sunnah Waljumaah.

Perkara 7 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pula menetapkan bahawa Takhta dan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman hendaklah turun temurun terletak kepada putera laki-laki yang tua kepada Almarhum Sultan Badlishah dan lepas daripada itu hendaklah turun temurun kepada zuriat laki-lakinya yang tua sekali daripada sebelah laki-laki yang ada dan hidup pada masa itu.

Perkara 9, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman menetapkan bahawa perlantikan untuk menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman adalah dipertetapkan oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja. Mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja hendaklah mengandungi:
a) Menteri Besar yang menjadi Yang DiPertua Majlis itu.

b) Lain-lain ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

c) Empat orang laki-laki ahli Kerabat Di Raja Negeri Kedah yang diangkatkan oleh Raja Pemerintah menurut timbang tiliknya dengan tauliah dan ditandatangani serta dicap dengan mohor Kerajaan dan dinyatakan di dalam Warta Kerajaan, dan

d) Lima orang ahli laki-laki yang bukan ahli Kerabat Di Raja Negeri Kedah dan tiada kurang daripada seorang daripadanya ialah Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Negeri Kedah dan tiada kurang daripada seorang yang lain iaitu seorang yang cukup faham di dalam Undang-Undang Islam yang akan diangkatkan oleh Raja Pemerintah menurut timbang tiliknya dengan tauliah dan ditandatangani serta dicap dengan Mohor Kerajaan dan dinyatakan di dalam Warta Kerajaan.

www.mykedah2.com

Thursday, September 3, 2009

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah

Tiupan nafiri akan menandakan isyarat keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah ke Balai Rong Seri.

Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia didahului oleh Seri Maharaja Lela. Duli-Duli Yang Maha Mulia dikapit oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogam Agama dan Cogam Alam dan di belakang pula ialah pegawai-pegawai yang membawa Cokmar dan Pedang. Di belakang Duli-Duli Yang Maha Mulia ialah Juru Iring dan Dang Perwara.


Selawat akan dilafazkan sebaik sahaja tiupan nafiri berakhir. Nobat pula akan dipalu lagu "Raja Berangkat" apabila selawat selesai dilafazkan. Duli-Duli Yang Maha Mulia berangkat naik bersemayam di atas Singgahsana.

Istiadat Pertabalan dimulakan dengan Seri Maharaja Lela mengadap memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk memulakan istiadat. Pegawai-pegawai membawa masuk alatan-alatan pertabalan dan meletakkannya di atas meja khas berhadapan Astaka.

Alatan-Alatan Pertabalan adalah seperti berikut:

• Puan Sireh • Keris Kebesaran • Surat Perisytiharan Pertabalan • Surat Titah DiRaja • Benian • Kendi • Embat-embat • Bekas Perasap

Setelah Alatan-Alatan Pertabalan diletakkan mengikut tertib, aktiviti-aktiviti istiadat berikut menyusul kemudian:
• Yang DiPertua Majlis Agama Islam melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran.

• Yang Amat Berhormat Menteri Besar membaca Surat Pengisytiharan Pertabalan.
• Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan membaca Surat Titah DiRaja.
• Seri Maharaja Lela mengadap mengangkat sembah dengan lafaz.

• Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan menerima Keris Kebesaran Negeri dan menghunusnya, kemudian disarungkan semula.

• Hadirin sekalian bangun berdiri dan seterusnya Seri Maharaja Lela menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut dengan diikuti oleh para hadirin.

• Nobat dipalu lagu "Raja Bertabal". Meriam ditembak sebanyak 21 das bermula daripada seruan "Daulat Tuanku" yang pertama dan payung ubor-ubor dikembangkan.

• Selesai lagu nobat "Raja Bertabal", lagu "Allah Selamat Sultan" dinyanyikan oleh kumpulan koir.

• Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempersembahkan ucapan "Surat Ucapan Taat Setia" dan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

• Yang DiPertua Majlis Agama Islam dengan diapit oleh Kadi Besar dan Imam Besar Masjid Zahir melafazkan doa selamat.

• Seri Maharaja Lela mengadap memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk menamatkan Istiadat.
• Nobat dipalu lagu Raja Berangkat" dan Duli-Duli Yang Maha Mulia berangkat turun dari Singgahsana meninggalkan majlis dengan diringi pengiring-pengiring DiRaja mengikut tertib dan disusuli oleh Wakil Raja-Raja dan Ketua-Ketua Negeri yang lain.

• Istiadat Pertabalan tamat.

Sumber: http://www.mykedah2.com
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai