Monday, November 9, 2009
Bilakah Melaka dan Penang masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu?
Bilakah Melaka dan Penang masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu?
Jawapan: 1946
Apabila Tanah Melayu telah dekat menghampiri Merdeka (1957), adakah negeri Melaka dan Pulau Pinang INGIN masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu 1957?
Jawapan: Tidak pada mulanya, kedua-dua negeri pada awal TIDAK mahu masuk kedalam Persekutuan!!
Terlalu banyak penyelidikan yang telah dibuat disini. Sesiapa yang mempunyai bahan yang menarik di kongsi, sila emel kepada kami.
------------------------------------------------------------------------
Bukankah selama 450 tahun, Melaka adalah sebahagian daripada "Tanah Melayu". Benar, dari segi darah tanah, dari segi alam Melayu, dari segi Kesultanan Melayu dan sejarah lama, Melaka memanglah tidak boleh tidak 'Tanah Melayu", tetapi dari segi undang-undang Inggeris dan Perlembagaan, Melaka (dan Penang) hanya masuk dalam tahun 1946.
Sepintas lalu:
Pada tarikh 23.12.1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian itu penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali (setiap negeri bernaung dibawah "diri sendiri" dan dibawah FMS atau UFMS).
Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Di akhir mesyuaratnya Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.Setelah mendapat persetujuan Raja Inggeris maka pada hari itu dalam tahun 1946, Perjanjian Persekutuan itu telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu. Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu.Di antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:
1) Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah Negeri-negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Untuk kepentingan politik dan keselamatan, Singapura telah dikeluarkan dari Persekutuan Tanah Melayu dan dijanjikan sebuah Koloni Inggeris.
2) Perkara yang tidak kurang pentingnya terkandung dalam dokumen itu ialah pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Dewan Perundangan Negeri akan mengikut peraturan yang serupa dengan Dewan Perundangan Persekutuan.
3) Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Di antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanahairnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat tertentu.
JOM BAHAS DAN KAJI !
EMEL KEPADA KAMI.
Tuesday, September 15, 2009
WAHAI SABAH DAN SARAWAK: 16 SEPTEMBER
RajaMenangis ingin merakamkan ucapan khas Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak yang beragama Islam dan rakyat jelata kedua-dua negeri yang hebat ini yang menyambut tarikh 16 September ini sebagai hari pembentukan negara kita, sempena Aidilfitri dan tarikh bersejarah ini, kami bermohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan yang lalu dan semoga kita mengambil pelajaran daripada yang sedemikian itu.
Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang semakin maju dan makmur. Kami turut mendesak Kerajaan Pusat dan Kerajaan kedua-dua negeri ini untuk 'mengganaskan' lagi pelbagai projek pembangunan dan menaikan lagi taraf kehidupan penduduk dan rakyat Sabah dan Sarawak. Insyallah, kami yakin ini akan berlaku.
Rajamenangis sentiasa mengikuti perkembangan negeri-negeri tersebut melalui blog blog atau lain-lain sumber yang boleh dipercayai. Kami sedia maklum akan segala luahan keresahan yang kadangkala terbit dan apa jua perubahan yang sedang dialami. Banyak perkara yang wajar dilakukan bagi memastikan Sabah dan Sarawak sentiasa memperolehi nikmat dari segi pembangunan dan lain-lain lagi, selari dengan negeri-negeri lain di Semenanjung - dan kami berpegang kepada prinsip ini.
Rajamenangis mendoakan rakyat kedua-dua negeri agar sejahtera dan selamat dan maju biar pun di mana mereka berada.
Thursday, September 10, 2009
SEJARAH BANGUNAN PARLIMEN KITA

MENARA PARLIMEN KUALA LUMPUR GEMILANG
Sempena Dengan Ulangtahun Ke-50 Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Selepas 52 tahun merdeka, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan institusi-institusi demokrasinya kekal agung.
Badan perundangan yang berasaskan kepada Westminster di Britain diterima oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957 dan merupakan institusi penting bagi Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berpelembagaan sebagai pemimpin tertinggi.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia kekal sebagai negara demokratik sejak merdeka sedangkan banyak daripada negara telah beralih kepada pemerintahan tentera atau diktator.
Walaupun prinsip demokrasi negara pernah tercabar tetapi secara keseluruhannya demokrasi serta institusi-institusinya masih berperanan penting di Malaysia.
Antara institusi yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia ialah Parlimen, yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Parlimen merupakan tempat di mana undang-undang negara dirumus, dibahas dan diluluskan demi manfaat negara dan rakyatnya. Parlimen mewakili suara rakyat, intipati penting demokrasi.
SEJARAH BANGUNAN PARLIMEN
Pada bulan Disember 1959, satu kawasan berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur dipilih sebagai tapak kompleks bangunan Parlimen.
Menurut laman web rasmi Parlimen, ilham untuk membina kompleks bangunan Parlimen datangnya daripada Ketua Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Bangunan yang menjadi simbol demokrasi di negara ini melibatkan kos RM18 juta.
Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan melakukan peletakan batu asas.
BANGUNAN UTAMA
Kompleks bangunan parlimen ini terbahagi kepada bangunan utama tiga tingkat dan menara yang mempunyai 17 tingkat.
Ia dirasmikan oleh Tuanku Syed Putra pada 21 Nov 1963.
Bangunan utama tiga tingkat itu menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Di tingkat pertama terdapat kantin, bilik wartawan dan bilik jamuan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Reka bentuk Dewan Negara hampir serupa dengan Dewan Rakyat tetapi ruangnya kecil sedikit. Bagaimanapun Dewan Negara mempunyai keistimewaan tersendiri. Jendela-jendelanya lutsinar dengan corak Islam asli daripada mozek merah dan biru.
Di tingkat bawah bangunan ini pula terletak bilik rehat diraja, sebuah surau bulat yang boleh memuatkan 100 jemaah dan sebuah dewan jamuan besar yang boleh memuatkan 500 orang.
Di tingkat kedua terbahagi kepada dua anjung. Anjung kiri terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar (boleh memuatkan 30 orang), empat bilik kecil (muat 12 orang), pejabat dan tempat rehat bagi para pegawai kerajaan serta bilik Persatuan Parlimen Komanwel.
Di anjung kanan pula terdapat dua bilik makan, satu bilik khusus untuk ahli Parlimen dan yang lainnya untuk tetamu serta pegawai kerajaan. Ruang dapur terletak di antara dua bilik makan ini. Dapur ini mampu menyediakan makanan bagi 1,000 orang tetamu dalam satu masa. Bahagian tengah tingkat kedua ini dipayungi oleh bumbung Dewan Rakyat. Ia dijadikan Taman Sari iaitu tempat anggota Parlimen berehat semasa persidangan.
MENARA
Menara setinggi 17 tingkat ini terletak di hadapan bangunan utama. Ia bersambung ke bangunan utama melalui sebuah jambatan dan di dalamnya ditempatkan pejabat para menteri dan anggota Parlimen yang lengkap dengan segala kemudahan seperti kerusi meja dan pembesar suara.
Di tingkat dua menara ini terdapat ruang tempat duduk dengan pemandangannya ke arah padang perbarisan di mana acara sambutan rasmi Parlimen diadakan.
Di tingkat 16 pula terdapat ruang lapang untuk menikmati keindahan pemandangan sekeliling kawasan Parlimen. Di menara inilah majlis-majlis tidak rasmi diadakan.
KEISTIMEWAAN
Tahukah anda berapa banyak batu-bata yang digunakan untuk membina kompleks Parlimen?
Menurut laman web rasmi Parlimen, lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3,000 tan kaca telah digunakan untuk pembinaannya.
Keseluruhan bangunan Parlimen ditutup dengan kaca yang boleh menyerap haba dan cahaya.
Bagi menghalang sinaran cahaya matahari itu, seluruh bangunan ditutup dengan terawang berukir diperbuat daripada konkrit. Terawang berbentuk sarang lebah itu dipasang bahagian demi bahagian dan ini menyerlahkan lagi kehebatan bangunan ini.
Sementara itu, sistem pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen yang mana air akan mengalir melalui dua sistem yang berangkai.
Air berwarna biru, yang berfungsi untuk menghindarkan lumut dan lumpur, bermula di bahagian bumbung bangunan membawa ke seluruh kompleks.
Selain daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.
Antara pokok yang ditanam sekitar kawasan Parlimen ialah pokok berlian, mata kucing, berangan, nam-nam, selarat dan tamar, yang diimport khas dari Arab Saudi.
Bersebelahan kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa.
(c)2009 - Oleh Cik Rashidah Abd Ghani
Bernama.
Tuesday, June 30, 2009
Perlembagaan payung keselamatan

JUN 29 — Matlamat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati semula sebelum pindaan dilakukan kepada mana-mana akta keselamatan negara, khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Peruntukan ini memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah yang memudaratkan awam.
Ia juga merupakan teras kepada undang-undang seperti ISA, di samping mencegah pelbagai ancaman yang dijangka muncul (perceived threats) dan ancaman keselamatan bukan tradisional seperti terorisme, sabotaj, cauvinisme dan pengkhianatan.
Dalam konteks kajian keselamatan kontemporari, peruntukan ini bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malahan keselamatan politik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi yang dikaji secara meluas dan mendalam berikutan beberapa konflik etnik di era pasca Perang Dingin.
Antara kajian ini terkandung dalam buku-buku Buzan (1991), Buzan, Waever, De Wilde (1998), Scherrer (2003), Mackerras (2003), Guzzini & Jung (2004), Sheehan (2005), dan Booth (2007).
Keselamatan Politik.
Buzan (1991:19) menyatakan, keselamatan politik adalah mengenai keupayaan organisational sesebuah negara, sistem kerajaan dan ideologi yang menjadi legitimasi kerajaan berkenaan.
Aspek keselamatan ini terkandung dalam Perkara 149(1)(b) yang mencegah tindakan "membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan."
Dan, Perkara 149(1)(d) yang melarang tindakan "untuk mendapatkan diubah, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang" di Malaysia.
Maksud 149(1)(d) diperjelaskan oleh mukadimah ISA yang menyatakan "untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah. Kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang."
Kedua-dua peruntukan Perlembagaan ini menjamin keselamatan politik kerana institusi Yang di-Pertuan Agong adalah lambang demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi ideologi nasional negara. Tindakan merobah kerajaan secara tidak sah pula adalah mencanggahi prinsip-prinsip demokrasi.
Keselamatan Masyarakat
Keselamatan masyarakat adalah mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi (Buzan (1991:19).
Lazimnya, keselamatan masyarakat juga merangkumi keselamatan insan seperti keselamatan pribumi, keselamatan etnik dan keselamatan identiti.
Aspek keselamatan ini terangkum dalam Perkara 149(1)(a) yang mencegah tindakan "menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;"
Perkara 149(1)(c) yang mencegah perbuatan "mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan;"
Dan, Perkara 149(1)(f) yang melarang tindakan "yang mendatangkan mudarat ketenteraman awam atau keselamatan, dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."
Peruntukan ini juga terkandung dalam Mukadimah ISA yang melarang individu melakukan keganasan terancang dan Fasal 8(1) ISA yang mengizinkan tahanan pencegahan ke atas individu yang berhasrat mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia.
Seluruh peruntukan ini selaras dengan ciri-ciri keselamatan masyarakat kerana api perkauman dan konflik etnik, jika tidak dicegah, boleh menjejaskan kesejahteraan serta identiti rakyat Malaysia yang majmuk.
Ini membuktikan ISA yang bersumberkan Perkara 149 bukan undang-undang yang bertujuan untuk melenyapkan pengkritik kerajaan, ketua parti pembangkang, pemimpin pelajar dan peneraju kesatuan sekerja, seperti dipropagandakan oleh pemimpin pembangkang tertentu di Malaysia.
Sebaliknya, Perkara 149 dan ISA adalah undang-undang yang menghalalkan tindakan sesiapa juga yang memerintah Malaysia untuk melindungi keselamatan rakyat supaya identiti mereka tidak terjejas, konflik etnik dapat dibendung dan keganasan etnik dapat dielakkan.
Keselamatan Ekonomi.
Buzan (1991:19) menghuraikan, keselamatan ekonomi melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara tahap kebajikan rakyat dan kuasa negara. Aspek keselamatan ini termaktub dalam Perkara 149(1)(a) yang melarang tindakan "kekerasan yang dirancang terhadap harta", dan Perkara 149(1)(e) yang melarang tindakan yang "mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam atau keselamatan dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."
Aspek ini juga terkandung dalam Fasal 8(1) ISA mengenai tindakan individu yang "boleh mendatangkan mudarat kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam negara atau kepada kehidupan ekonominya."
Huraian ini membuktikan bahawa keselamatan ekonomi negara dan rakyat adalah dilindungi oleh Perkara 149 dan ISA. Sebarang dakyah sebaliknya adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat supaya mendesak kerajaan memansuhkan ISA.
Keselamatan Rejim
Seluruh peruntukan dalam Perkara 149 dan ISA juga memberikan perlindungan kepada keselamatan rejim yang memfokus kepada negara, individu, dan kumpulan sosial di sesebuah negara.
Antara nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi konsep keselamatan rejim adalah ideologi politik pemerintah, perpaduan etnik, keharmonian agama, institusi raja, pembangunan dan kemakmuran.
Keselamatan rejim disifatkan sebagai keselamatan kerajaan (Buzan 1985) kerana ia memelihara kelangsungan negara Dunia Ketiga, khususnya bila masyarakat majmuknya tidak berkongsi nilai dan kepentingan nasional yang serupa.
Keselamatan Pribumi
Keselamatan pribumi dihuraikan secara tidak langsung menerusi konsep keselamatan etnik dan identiti yang antara lainnya adalah mengenai migrasi serta dampaknya kepada penduduk asal di sesebuah negara.
Menurut Sheehan (2005:92), Buzan menyifatkan migrasi sebagai ancaman kepada masyarakat kerana ia mengancam identiti warganegara (pribumi) di sesebuah negara. Isu migrasi dikategorikan sebagai ancaman keselamatan sejak tahun 1990-an.
Scherrer (2003:95-97) pula menyatakan, serangan terhadap identiti sesuatu kelompok boleh mendorong pemberontakan; perbuatan mempolitikkan etnisiti makin bertambah; dan etnisiti terus menjadi elemen dalam sesuatu pertelingkahan sosial.
Huraian ini membuktikan tindakan mempertikaikan peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, Raja Melayu, Bahasa Melayu, orang Melayu, Bumiputera dan keistimewaan mereka, adalah tindakan anti-nasional.
Ini kerana tindakan sedemikian boleh "menimbulkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan," seperti yang dihuraikan dalam Perkara 149(1)(c).
Tindakan Futuristik
Oleh sebab itu para pejuang kemerdekaan Malaysia menangani masalah etnisiti seperti ini secara proaktif. Ia dilakukan menerusi kewujudan konsep pribumi yang ditafsir secara Perlembagaan dalam Perkara 160, 161A, (6)(a)), 161A(7) dan 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Konsep kewarganegaraan rakyat bukan pribumi pula ditafsir secara Perlembagaan menerusi Perkara 14, 15, 15A, 16, 16A, 18, 19 dan 22 Perlembagaan Persekutuan. Tafsiran ini juga berasaskan prinsip muafakat dan toleransi antara kaum.
Menurut Leong H. Liew (2005:88), pemberian hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu di Malaysia adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu kepada hak-hak istimewa orang Melayu.
Etnik keturunan Cina khususnya, wajar menginsafi hakikat ini kerana Mackerras (2003) membuktikan bahawa layanan terhadap masyarakat minority di Malaysia adalah lebih baik berbanding di China, Indonesia dan Thailand.
Etnisiti di negara-negara tersebut, melainkan di Indonesia dan Thailand, memang belum pernah mencetuskan konflik seperti tragedi 13 Mei. Ini kerana ketiadaan aktor politik yang mengeksploitasikan isu-isu etnisiti.
Ini membuktikan bahawa masalah etnisiti di Malaysia boleh dibendung dan dielakkan sekiranya tiada pemimpin politik menggunakan isu berkenaan untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan.
Menurut Leong H. Liew (2005: 92-93), eksploitasi isu-isu etnik dilakukan secara agresif oleh parti-parti pembangkang Cina sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969.
Mereka memperolehi pertambahan kerusi. Tetapi, tindakan mereka menyebabkan orang Melayu terancam sehingga mencetuskan ketakutan dan kemarahan yang belum pernah terjadi sejak Perang Dunia Kedua. Akibatnya adalah Tragedi 13 Mei 1969.
Pelindung Rakyat
Kesimpulannya, tragedi 13 Mei boleh berulang jika masih ada pihak mengeksploitasi isu-isu etnik. Ia juga boleh meletus kerana isu etnik yang digandingkan dengan isu hak-hak asasi kini jadi semakin ketara.
Wacana mengenai hak-hak asasi ini dimunculkan menerusi pelbagai tuntutan hak-hak sivil, politik, etnik dan demokrasi. Wacana ini terbahagi kepada aliran universalis yang menerima dukungan Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia (Mackerras 2003:4-5).
Pendukung aliran universalis menitikberatkan hak-hak sesuatu kelompok. Mereka ketepikan elemen sejarah dan permuafakatan kaum. Mereka juga tidak pedulikan dampak negatif perjuangan mereka kepada keselamatan negara dan rakyat.
Gerakan ini kian menonjol di Malaysia. Kes-kes membabitkan Islam diheret ke mahkamah sivil. Keistimewaan pribumi terus dipolitikkan. Bahasa Melayu cuba disinonimkan dengan bahasa etnik lain, termasuk untuk kegunaan di papan tanda jalan.
Fenomena ini membuktikan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ISA adalah penting untuk melindungi seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai pribumi yang masih dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di Malaysia.
Ia juga memperkukuhkan hujah bahawa seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai Agama Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, Bumiputera, dan Bahasa Melayu tidak akan mencetuskan konflik etnik jika tidak dieksploitasi oleh sesetengah pemimpin politik dan pertubuhan sivil.
Oleh itu, rakyat Malaysia tidak harus terpengaruh dengan dakyah kononnya ISA yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah akta yang menindas rakyat.
Sebaliknya, semua undang-undang keselamatan di Malaysia yang bersumberkan Perkara 149, termasuk ISA adalah penting untuk menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat jelata.
Undang-undang seperti ini tidak wajar dimansuhkan. Sebarang pindaan mengenainya tidak boleh mengkompromikan matlamat Perkara 149 yang melindungi kepentingan serta kelangsungan pribumi, rakyat bukan pribumi, dan lain-lain peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan. — Utusan Malaysia
Wednesday, June 24, 2009
Chin Peng mahu lawan Melayu?
MEMPERLEKEH PERJUANGAN [MELAYU] UMNO
Oleh Tun Mahathir Mohamad
Jun 4, 2009
1. Terdapat usaha berterusan untuk memperlekeh perjuangan UMNO dan orang Melayu untuk kemerdekaan.
2. Kononnya orang yang pertama memperjuangkan kemerdekaan ialah Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya. Chin Peng lah yang cuba membebaskan Malaya daripada penjajah British sebelum mana-mana orang Melayu mencuba melakukannya.
3. Perjuangan UMNO adalah kemudian dari itu.
4. Chin Peng bukanlah orang yang pertama yang memberontak melawan British. Sebelum Parti Komunis Malaya (PKM atau MCP - Malayan Communist Party), sudah ada Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak sebelum Perang Dunia II. Mereka tidak mendapat sokongan penuh daripada orang Melayu Semenanjung kerana mereka cenderung ke kiri. Dengan itu perjuangan mereka tidak begitu berhasil. Namun terdapat beberapa pertubuhan yang secara tidak langsung mewarisi perjuangan mereka. Malay Nationalist Party atau Party Kebangsaan Melayu, Angkatan Belia Insaf dan Putera adalah di antara pertubuhan yang meneruskan perjuangan KMM. Mereka juga tidak mendapat sokongan daripada majoriti orang Melayu kerana disyaki dipengaruhi oleh Komunis.
5. Selepas KMM barulah datang Chin Peng dan PKM. Chin Peng berjuang untuk mendirikan sebuah Communist Dictatorship di mana dia akan menjadi diktator. Bagi orang yang bukan Komunis, terutama bagi orang Malayu kejayaan Chin Peng bukan akan membawa kemerdekaan tetapi mengganti penjajahan British dengan penjajahan Komunis pimpinan Chin Peng dengan majoriti daripada pemerintahan terdiri daripada kaum Cina. Melayu yang akan ada dalam pemerintahan Komunis ini hanyalah hiasan, seperti juga kita lihat keadaan di Singapura sekarang.
6. Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu lambat laun akan terhapus.
7. Sebab itu Melayu yang sedikit yang mirip ke kiri pun tidak ingin menyertai MCP. Keadaan dalam MCP sepanjang ia mencuba rebut kuasa, mulanya daripada British dan kemudian daripada Kerajaan Campuran Perikatan dan Barisan Nasional, memberi gambaran akan pemerintahan Chin Peng jika ia berjaya. Orang Cina Komunis akan menjadi pemerintah tetapi Komunis Melayu dengan orang Melayu dan India akan diberi peranan yang kecil dan tidak bermakna sama sekali.
8. Inilah sebabnya yang orang Melayu tidak menyertai pemberontakan MCP melawan British, dan tidak anggapnya sebagai perjuangan untuk kemerdekaan Malaya.
9. Dengan kesedaran dan kepercayaan ini maka orang Melayu telah tubuh badan yang tersendiri untuk betul-betul memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Badan yang ditubuh ialah UMNO.
10. Orang Melayu tidak percaya yang pemberontakan bersenjata akan berkesan. Ini adalah kerana negara yang akan di warisi jika menang sekalipun sudah tentu akan rosak teruk kerana peperangan.
11. Pendekatan orang Melayu dan UMNO mengambilkira kemampuan mereka. Mungkin perjuangan UMNO tidak gah seperti perjuangan kemerdekaan bersenjata di negara-negara lain, tetapi kemerdekaan yang dicapai oleh UMNO lebih bermakna kerana Malaysia dapat menegak pendirian sendiri dan mengecam kuasa besar di dunia apabila mereka membuat kesalahan.
12. Sesungguhnya UMNO lah yang perjuangkan kemerdekaan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan yang bermakna. Chin Peng berjuang untuk mendirikan pemerintahan diktator Komunis yang akan menjajah orang Melayu dan kaum-kaum lain juga.
Ihsan/petikan hakmilik 2009 (c) Oleh Tun Mahathir Mohamad -'MEMPERLEKEH PERJUANGAN UMNO'
Monday, June 22, 2009
KOMUNIS MALAYA RATA-RATA BUKAN MELAYU TAPI SIAPA?

ANTARA PARTI KOMUNIS MALAYA & PKMM
Secara ringkas gee huraikan, PKM jugak dikenali sebagai Parti Komunis
Selepas bertapaknya Jepun di Tanah Melayu, wujudlah puak-puak yang berani menentang British. Ini kerana orang-orang melayu mula sedar yang kuasa asia seperti Jepun jugak boleh menundukkan kuasa British. Dari sinilah wujudnya PKMM- Parti kebangsaan Melayu Malaya dianggap sebagai puak pemimpin sayap kiri yang agresif menentang British. PKMM juga ketika itu menentang Malayan Union. Pada mulanya mereka tidak mengangkat senjata kerana parti ini jugak sealiran dgn UMNO. Di dalam penulisan Shamsiah Fakir juga ade menyebut bahawa PKMM dan UMNO adalah satu gerakan org-org melayu yang berjuang utk mendapatkan kemerdekaan tanah melayu tetapi akhirnya UMNO berpecah dari PKMM utk mencari jalan sendiri mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu..UMNO dianggap sebagai puak pemimpin sayap kanan yang lebih berminat menggunakan kaedah berbincang dgn British utk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu...
PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 yang diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam. Mengikut sejarah, Mokhtaruddin Lasso adalah seorang pemimpin komunis di Indonesia. Perbezaan Ideologi yang ketara di antara kedua mereka menyumbang kepada wujudnya 2 sayap di bawah PKMM iaitu API dan AWAS pimpinan oleh Ahmad Boestamam agar ideologi komunisme Mokhtaruddin dapat dihapuskan. API dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan AWAS dipimpin oleh Shamsiah Fakir. Apabila Kesatuan Melayu Muda-KMM bergabung dgn PKMM, ideologi parti ini terus cenderung bersifat Nasionalisme sepenuhnya selepas Dr Burhanuddin Helmi mengambil alih pucuk kepimpinan.
Pengaruh PKMM tidak kekal lama apabila UMNO diwujudkan. UMNO yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar adalah sebuah parti yang lebih diyakini oleh orang-orang melayu ketika itu. Walaubagaimana pun Dato Onn Jaafar mengundurkan diri dari umno apabila cadangan Tuanku Abd Rahman utk menerima segala syarat-syarat kemerdekaan dari British. Dato Onn Jaafar ingin membebaskan Tanah Melayu dari British
Di sebabkan sifat PKMM yang tidak mahu berunding dgn British dan menentang secara agresif, parti ini diistiharkan pengkhianat bangsa oleh British ketika itu. Ramai pengikut-pengikut PKMM ditangkap dan dibunuh dgn kejam. Mereka melarikan diri ke dalam hutan lalu bergabung dgn Komunis Malaya utk mendapatkan bekalan senjata. Tujuan meraka utk mempertahankan diri dari serangan tentera British yang diantaranya adalah org-org melayu. Walaupun bergabung dgn komunis mereka tidak pernah mengamalkan ideolog komunisme seperti yang diputar belitkan oleh PR. PKMM bersifat Nasionalisme kerana mereka tidak memisahkan agama dari perjuangan mereka. Mereka tidak membunuh melainkan mereka diserang. Mereka tidak pernah menentang Demokrasi seperti kenyataan PR. Di dalam PKMM mereka punyai biro-biro keagamaan, dan kebajikan. PR menganggap PKMM sebagai Parti Komunis Melayu
(EDITOR - PERJUANGAN MELAYU (TERMASUKLAH PKMM) ADALAH UNTUK MEMBEBASKAN TANAH TUMPAH DARAH MEREKA, TANAH RAJA MELAYU DAN ORANG MELAYU BERTAPAK, KETIKA ITU)
Hakcipta / di petik daripada geefadzli
© http://srikandi-melayu.blogspot.com/2009/06/antara-pkm-pkmm.html
Thursday, May 14, 2009
Pahlawan Melayu
Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu
beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau
dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar.
Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar
berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau
adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.
Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan
seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung
Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.
Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan
diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.
Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang
yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat.
Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.
Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan ini telah menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman
pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.
Petikan drp (c) http://alam-melayu.blogspot.


