Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

Membaca Buku Ilmu Hitam

SOALAN: Saya pernah mendengar adanya Kitab Tajul Muluk yang dikatakan mengandungi tilikan dan tafsiran mengenai tubuh badan manusia. Sejauh mana kebenaran kitab itu. Bolehkah ia dibeli dan dibaca. Adakah Islam menerima pakai tafsiran yang tidak bersumberkan al-Quran dan Hadis. Bagaimana pula dengan buku-buku lain yang banyak dijual dan dikatakan sama sahaja isi kandungannya dengan kitab Tajul Muluk. Saya khuatir, kitab-kitab ini boleh merosakkan akidah dan menyesatkan pembaca, tetapi mengapa ia tidak diharamkan. Harap ustaz dapat memberi maklumat ringkas tentang kitab itu.
- Umar Najib al-Mukhtar. SELANJUTNYA

Himpunan Doa oleh Syaikh Ismail

Putrajaya – Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku ‘Koleksi Doa Imam Besar Masjid Negara’ di Auditorium JAKIM, Aras 5, Blok D8, Kompleks D, Putrajaya pada 17 Oktober 2011M bersamaan 19 Zulkaedah 1432H bermula jam 8.30 pagi. Buku Koleksi Doa tersebut merupakan hasil karya Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad di mana doa-doa tersebut kebanyakkannya dihasilkan ketika beliau menghadiri Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan, swasta dan persendirian. BACA LAGI

Sunday, October 24, 2010

KEUTAMAAN DOA

KEUTAMAAN MENDOAKAN ORANG LAIN TANPA PENGETAHUANNYA

Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ جَاؤُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِّلَّذِينَ آمَنُو
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman.” (QS. Al-Hasyr: 10)

Allah SWT berfirman tentang doa Ibrahim AS:
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Rabb kami, beri ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan semua orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (QS. Ibrahim: 41)
Allah SWT juga berfirman tentang Nuh AS, bahawa beliau berdoa:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
“Wahai Rabbku! Ampunilah aku, ibubapaku, orang yang masuk ke dalam rumahku dalam keadaan beriman, dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan.” (QS. Nuh: 28)

Dan juga tentang Nabi Muhammad SAW, dimana beliau diperintahkan dengan ayat:
وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
“Dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan.” (QS. Muhammad: 19)
Dari Abu Ad-Darda’ dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” (HR. Muslim no. 4912)

Dalam riwayat lain dengan lafaz:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa diketahui olehnya adalah doa mustajabah. Di atas kepalanya (orang yang berdoa) ada malaikat yang telah diutus. Sehingga setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan, “Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu.”

PENJELASAN RINGKAS:
Mendoakan sesama muslim tanpa sepengatahuan orangnya termasuk dari sunnah hasanah yang telah diamalkan turun-temurun oleh para Nabi SAW dan juga orang-orang soleh yang mengikuti mereka. Mereka senang kalau kaum muslimin mendapatkan kebaikan, sehingga merekapun mendoakan saudaranya di dalam doa mereka tatkala mereka mendoakan diri mereka sendiri. Dan ini di antara sebab terbesar tersebarnya kasih sayang dan kecintaan di antara kaum muslimin, serta menunjukkan kesempuraan iman mereka. Nabi SAW bersabda, “Tidak beriman salah seorang di antara kalian sampai dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik)

Kerananya Allah dan Rasul-Nya memotivasi kaum muslimin untuk sentiasa mendoakan saudaranya, sehinggakan Allah SWT mengutus malaikat yang khusus bertugas untuk meng’amin’kan setiap doa seorang muslim untuk saudaranya dan sebagai balasannya malaikat itu pun diperintahkan oleh Allah untuk mendoakan orang yang berdoa tersebut. Berhubung doa malaikat adalah mustajabah, maka kita bisa menyatakan bahwa mendoakan sesama muslim tanpa sepengetahuannya termasuk dari doa-doa mustajabah. Karenanya jika dia mendoakan untuk saudaranya - dan tentu saja doa yang sama akan kembali kepadanya - maka potensi dikabulkannya akan lebih besar dibandingkan dia mendoakan untuk dirinya sendiri.

Hanya saja satu batasan yang disebutkan dalam hadis (agar malaikat meng’amin’kan) adalah saudara kita itu tidak mengetahui kalau kita sedang mendoakan kebaikan untuknya. Jika dia mengetahui bahwa dirinya didoakan maka lahiriah hadis menunjukkan malaikat tidak meng’amin’kan, walaupun tetap saja orang yang berdoa mendapatkan keutamaan karena telah mendoakan saudaranya. Hanya saja kita mendoakannya tanpa sepengetahuannya lebih menjaga keikhlasan dan lebih berpengaruh dalam kasih sayang dan kecintaan.

Sebagai tambahan adab-adab berdoa dari dalil-dalil di atas:
1. Jika dia mendoakan orang lain maka hendaknya dia mulai dengan mendoakan dirinya sendiri.
Dari Ubay bin Ka’ab RA, dia berkata, “Jika Rasulullah SAW menyebut seseorang lalu mendoakannya, maka beliau mulai dengan mendoakan diri beliau sendiri.” (HR. At-Tirmizi: 5/463). Hanya saja juga telah sahih riwayat bahwa beliau (Nabi SAW) tidak memulai dengan diri beliau sendiri, seperti pada doa beliau untuk Anas, Ibnu Abbas, dan ibunya Abu Hurairah RA (Lihat Syarh An-Nawawi terhadap Sahih Muslim: 15/144, Fath Al-Bari: 1/218, dan Tuhfah Al-Ahwadzi Syarh Sunan At-Tirmizi: 9/328)

2. Dia mendoakan kedua orang tuanya ketika dia berdoa untuk dirinya sendiri.
Allah SWT berfirman, “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (QS. Al-Isra`: 24)

3. Mendoakan kaum mukminin dan mukminat tatkala mendoakan dirinya sendiri.
Allah SWT berfirman, “Dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan.” (QS. Muhammad: 19)

Sumber : al-atsariyyah.com

Thursday, October 14, 2010

MISTERI KOKKA DIBONGKAR

Kepalsuan kayu kokka dibongkar Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa. Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma. Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.
“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya. Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan. “Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.
Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan. “Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya. Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh. “Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene. “Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh. “Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya. Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

AWASI UNSUR SYIRIK JIKA GUNA KAYU KOKKA
Oleh Dato' Dr Haron Din

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan. Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka. Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras. Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam. Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan. Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan. Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah. Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja. Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat. Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.
Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain. Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.
Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT. Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian." Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

KOMEN SAYA :
Kayu Kokka & Masalah Aqidah
Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini. Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya.
Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.
Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa'di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu'tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik.

Dari sudut hukum jual beli
Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan 'kuasa ghaib' kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfungsi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.

Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s ( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan dalam jualan.

Nabi SAW bersabda :
Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong. (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim ; Al-Baihaqi)

Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat Islam dengan kewujudannya.

Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar.

Kayu atau orang yang bermasalah?
Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara'i (menutup ruang kemungkinan berlaku syirik).

Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya. Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)

ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA :
• Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Insya-Allah suhu badan menurun.
• Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi.
• Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu sedikit sudah cukup).
• Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai minyak ini. Insya-Allah.
• Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan menyayangi kita.
Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm

Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradhawi ).

Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama' berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.

Abdullah Bin Mas'ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan )
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu') :
Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.

Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za'faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik. Moga Allah SWT menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat.

Sumber : www.zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/514-kayu-kokka-a-bahaya-kesyirikan-video.html

Sunday, October 10, 2010

Doa Akasyah

Dalam kitab Mujarabat ada menyatakan bahawa doa Akasah ini pada asalnya dibawa oleh Malaikat Jibril as dari arasy, dari Sayyidina Abu Bakar A-Siddiq r.a telah berkata, pada suatu hari aku sedang duduk di hadapan Rasulullah SAW di dalam Masjid Madinah AL Munawwarah, tiba-tiba datang Malaikat Jibril as. Dengan membawa Doa Akasyah lalu diberikan kepada Rasulullah SAW seraya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya yang aku bawa ini Doa Akasyah yang sejak dari Nabi Adam a.s. dan nabi-nabi lain belum pernah diberi kecuali kepada engkau. Kata Malaikat Jibril lagi, sesungguhnya aku melihat Doa Akasyah ini tergantung di bawah Arasy selama 90,000 tahun sebelum Allah menciptakan dunia seisinya.

Fadilatnya:

1. Dapat menghafal Al Quran: Hendaklah membaca doa ini sebelum membaca Al Quran dengan penuh ikhlas kepada Allah SWT. Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku, Wahai Abu Bakar, janganlah kamu tinggal membaca doa Akasyah ini, sebab membaca doa ini bererti akan memperolehi kesentosaan dan anugerah dari Allah SWT, dapat menghafaz Al Quran dan Kitab. Sayyidina Uthman Ibnu Affan ra. Pernah berkata, Sesungguhnya aku dapat menghafaz Al Quran dengan berkat doa Akasyah ini.
2. Memperolehi kekuatan luar biasa: Sayyidina Ali ibnu Abu Talib ra. Pernah berkata, Aku telah memiliki kekuatan dan keberanian yang luar biasa disebabkan berkahnya Doa Akasyah ini.
3. Diampuni Allah SWT segala Dosa.
4. Membaca dengan ikhlas hati benar-benar kerana Allah secara istiqomah, Insyallah diberi keampunan dan dihapuskan segala dosa.
5. Pada hari kiamat akan diberi Allah SWT pahala yang besar. Hasan Basri ra berkata, Sesungguhnya aku telah mendegar Rasulullah SAW bersabda; Bahawa seseorang itu tidak akan memperolehi pahala yang berlimpah-limpah seperti pahala orang membaca Doa Akasyah ini. Syeikh Sya’ban ra berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Barang siapa membaca doa Akasyah ini, jika ia meninggal dunia, maka ia sentiasa mendapat anugerah dari Allah SWT banyaknya malaikat ikut menghantarkan jenazahnya ke kubur, yang satu malaikat telah membawa nur.
6. Mendapat darjat yg tinggi di dunia dan akhirat. DALam hidupnya sentiasa membaca doa tersebut,, nescaya Allah SWT mengangkat darjatnya di dunia dan akhirat.. Apabila bangkit dari kubur, wajahnya seperti bulan purnama banyaknya malaikat berada disekelilingnya yg semuanya membawa bendera dari cahaya terus menuju ke syurga bersama-sama orang yang membaca doa Akasyah. Orang yg berada di padang masyar merasa kagum dan tercengang/hairan kerana dihormati oleh para malaikat dan orang soleh. Wallahu ‘alam.

Tuesday, October 5, 2010

YAHUDI MEMBAKAR ...

Pihak tidak bertanggungjawab membakar masjid di sebuah perkampungan Palestin di Tebing Barat hari ini, menconteng dinding dengan perkataan 'dendam' dalam bahasa Ibrani serta membakar salinan kitab suci al-Quran akan mencetuskan ketegangan baru setelah usaha perdamaian Asia Barat menemui jalan buntu.

Penduduk Palestin mengesyaki pelampau pendatang-pendatang Yahudi melakukan kebakaran di perkampungan Beit Fajjar tersebut yang mana 15 salinan al-Quran dan permaidani masjid itu dibakar, kata pegawai majlis perbandaran, Ali Thawabti. Jelasnya, penduduk bagaimanapun berjaya memadamkan kebakaran dan 'pendatang Yahudi melarikan diri menggunakan kereta Peugeot putih'.

Ini merupakan kali keempat sebuah masjid di Tebing Barat mengalami vandalisme yang didakwa dilakukan pendatang Yahudi. Ketua perunding Palestin berkata, kebakaran tersebut mencerminkan peranan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dalam konflik Israel-Palestin.

Usaha perdamaian tertunggak selepas sebulan siri rundingan dilakukan di Washington. Pihak Palestin menegaskan, mereka tidak akan meneruskan rundingan damai tersebut sekiranya pembinaan penempatan haram diteruskan.

Namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan tekanan dalam kerajaan campuran yang menyokong penempatan haram, menolak untuk melanjutkan larangan pembinaan. Wakil khas White House, George Mitchell berada di rantau ini sejak minggu lalu bagi mencari jalan penyelesaian namun masih gagal berbuat demikian.

Netanyahu juga turut memberitahu sekutu-sekutu politiknya tentang kemungkinan memperbaharui larangn pembinaan untuk memuaskan hati AS. Pada awal sidang Kabinet hari ini, Netanyahu berkata Israel 'dalam rundingan diplomatik bersama pentadbiran AS bagi mencari satu penyelesaian untuk meneruskan proses rundingan damai' namun tidak meletakkan harapan terhadap kemungkinan beberapa manfaat dari AS.

Ramallah | 4 Okt 2010 | www.utusan.com.my

Saturday, October 2, 2010

HUKUM WANITA SOLAT JUMAAT

Sabda Nabi SAW :

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فعليه الجمعة إلا امرأة ومسافراً وعبداً ومريضاً

Maksudnya :
“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan solat jumaat melainkan perempuan, orang bermusafir, hamba dan orang yang sakit.”

Walaupun begitu, sekiranya perempuan atau muslimat menunaikan solat jumaat bersama dengan kaum lelaki, maka tidak perlu lagi mereka menunaikan solat zohor, bahkan memadai dengan solat jumaat yang mereka tunaikan[5]. Keadaan ini disandarkan kepada wanita-wanita di zaman nabi yang hadir di masjid dan menunaikan solat jumaat bersama baginda SAW.

Melihat kepada ulasan di atas, didapati bahawa, muslimat tidak diwajibkan menunaikan solat jumaat. Lalu, apakah hukum muslimat yang tetap menghadirkan diri mereka untuk menunaikan solat jumaat?

Menurut Al-Fadhil Dr As-Syaikh ‘Atiyyah Saqqar didalam kitab “Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-Fatawa wa Al-Ahkam”. Beliau menyatakan, ulama membahaskan perkara ini seperti berikut;

Ahnaf : Yang paling afdhal bagi perempuan menunaikan solat zohor di rumahnya, sama ada perempuan itu tua atau muda.

Malikiyyah : sekiranya perempuan itu bersangatan tua yang tidak menarik perhatian lelaki, maka harus bagi perempuan itu menunaikan solat jumaat. Adapun sekiranya perempuan itu boleh menarik perhatian kaum lelaki yang tidak membawa fitnah, maka hukum menghadiri solat jumaat adalah makruh. Adapun boleh mendatangkan fitnah, maka hukumnya adalah haram.

Hanabilah : diharuskan perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya tidak berhias. Adapun berhias, maka hukumnya adalah makruh.

Syafiiyyah : makruh perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya ianya boleh disyahwati, walaupun ianya dengan memakai pakaian tebal sekalipun. Begitujuga, makruh perempuan menghadiri solat jumaat, sekiranya ianya tidak disyahwati, tetapi dia berwangi-wangian atau berhias.

Monday, September 27, 2010

Mencari Keredhaan ...

LALUAN MENUJU KE KUBUR
Bagaimana memudahkannya?

a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan qadha' hajat dengan istibra (berdehem selepas buang air kecil)

LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
Bagaimana memudahkannya?

a. Bersihkan diri dengan bertaubat umpama berdosa setiap masa
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula qadha/ganti (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala

LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
Bagaimana memudahkannya?

a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar dan tidak berdusta
d. Bersihkan dan perbaiki hati

LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN
Bagaimana memudahkannya?

a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanfaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH

LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
Bagaimana memudahkannya?

a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat

LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAQIM
Bagaimana memudahkannya?

a. Kasihilah aulia ALLAH S.W.T
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan syariat dan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
Bagaimana memudahkannya?

a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana bertaubat pada ALLAH dengan dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
Bagaimana memudahkannya?

a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH

LALUAN BERJUMPA DENGAN Rasulullah S.A.W
Bagaimana memudahkannya?

a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasullullah S.A.W
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat ke atas Rasulullah S.A.W

LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
Bagaimana memudahkannya?

a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka/syirik kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan dan hindarkan segala yang diharamkan-Nya

Sumber : terapi-alfatah.blogspot.com

Monday, September 6, 2010

CD SAJAK ALAM TINGGI - HARGA RM25 SENASKAH

Aku hanyalah pantai
yang berubah tidak menentu
sepanjang waktu
dipukul ombak yang lalu
(Engkaulah Ombaknya)

Aku hanyalah layang-layang
terbang tinggi ke sana ke mari
dengan tali di hujung jari
(Tali itu di TanganMu)

Aku hanyalah pelakon
berbagai dimensi
terkadang dipuji, terkadang dicaci
hanya menurut skrip diberi
(Engkaulah Pengarahnya)

Aku hanyalah mayat
terbaring kaku
yang hilang rasa malu
menyerah tubuh untuk dimandi
(Engkaulah Pemandinya)

Makkah Al Mukarramah | 17 Mei 1995 | Ana Faqir

KUMPULAN RAJAMENANGIS dengan sukacitanya ingin mengketengahkan koleksi Album Metafizika yang dihasilkan atas tujuan untuk mengajak khalayak mengenali falsafah atau ilmu pengetahuan mengenai sesuatu yang di luar dugaan, dari alam biasa atau yang tak kelihatan. Umpamanya Zat Ilahi yang Maha Agung dan perjalanan diri menuju kepadaNya.

Terdapat 13 Puisi & Lagu "Kembali Ke Asal Mu" yang pasti meruntun rasa, menyentuh sanubari dan memberi keinsafan yang mendalam. Setiap satu berharga RM25 tidak termasuk belanja pos. Antara pendeklamator : Ana Faqir, Prof Emeritus Dato' Shahnon Ahmad, Dr Rahimah Hamid dan lagu oleh Ito Muhamad (Blues Gang).


Monday, August 23, 2010

KHABAR TERGEMPAR DI GEORGETOWN

GEORGETOWN: Khatib yang mencetuskan kontroversi dengan mendoakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat, Zakaria Ahmad di beberapa masjid di negeri ini mengakui tidak menyebut nama Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa berkenaan.

Zakaria yang juga adik kepada Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad memberikan alasan bahawa doanya yang mensejahterakan semua pemimpin dalam doa khutbah kedua Solat Jumaat juga termasuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Memang saya tidak sebut namanya (Yang di Pertuan Agong), tetapi saya mendoakannya ketika berdoa supaya kesejahteraan serta kesihatan diberikan kepada semua pemimpin itu, termasuk kepada Yang di Pertuan Agong. Saya tidak tinggalkannya terus (doa untuk Yang di-Pertuan Agong), katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakannya tidak menyebut nama Yang di Pertuan Agong ketika doa khutbah kedua solat Jumaat di beberapa masjid di negeri ini yang mencetuskan kemarahan orang ramai kerana ia seolah-olah tidak menghormati Tuanku Mizan sebagai ketua agama Islam Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Zakaria mengakui bahawa tindakannya memasukkan nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dilakukan sejak tahun lalu, bukannya baru-baru ini saja dan menganggap kekecohan berlaku akibat kepentingan politik sesetengah pihak.

2010/08/23 | www.bharian.com.my
** foto sekadar hiasan

Saturday, August 7, 2010

RALAT: TIADA 'RAJA RAJA MALAYSIA' DI SINI

Setiap tahun, Kumpulan Rajamenangis rasa gelisah dan ralat apabila mendengar pengumuman bermulanya Ramadhan dan Aidilfitri di TV dan Radio dengan menyebut "RAJA-RAJA MALAYSIA". Ungkapan "Raja-Raja Malaysia" tidak pernah sama sekali wujud dalam sejarah warisan negara mahu pun dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang Tubuh Negeri. Kami percaya ungkapan "Raja Malaysia" seolah-olah seperti kosong dan tidak bermakna dalam konteks Semenanjung Tanah Melayu (The Malay Peninsular).

Ungkapan yang benar dan serasi adalah "Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu" kerana kesemua sembilan Raja-Raja Melayu adalah daripada negeri Melayu yang sembilan, (dari manakah kita dapat sembilan ini? Jawapan - daripada campuran FMS iaitu
Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan UFMS iaitu Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu). Pada awalnya Negeri-negeri Melayu TIDAK termasuk Pulau Pinang dan Melaka (kerana kedua-duanya adalah Negeri-negeri Selat) yang masuk menjadi sebahagian daripada Negeri-negeri Melayu - perlembagaan tetap menggunakan istilah Inggeris 'States of Malaya' - selepas 1957.

Dan kesemua Negeri-negri Melayu (yang sembilan) dan dua Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) termasuk juga dua lagi iaitu Sabah dan Sarawak menyambut Ramadhan dan Aidilfitri lazimnya serentak kerana perkenan sembilan Raja-raja Melayu yang telah menyerahkan hak mengumumkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agung (sebagai Ketua Persekutuan) kepada seluruh Malaysia. Ini juga adalah kerana DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agung mengambil tugas Ketua Agama di Melaka dan Pulau Pinang, serta Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, walau pun di Negeri Sabah wujud '20-Points Agreement' manakala di Sarawak pula, '18-Points Agreement' mungkin ada tafsiran yang lain.


Tetapi mencari jalan mudah dengan mentafsirkan Sultan-sultan Melayu sebagai 'Raja-Raja Malaysia' adalah sesuatu yang drastik, dibuat-buat, tidak betul dan tidak tepat dari aspek mana sekali pun. Dan sesungguhnya, ini memalukan sistem kita.

RAJAMENANGIS MENDESAK KERAJAAN MALAYSIA DAN MAJLIS RAJA RAJA MEMPERBETULKAN KESILAPAN YANG TIDAK SEPATUTNYA BERLAKU SEMENJAK BERTAHUN-TAHUN KEBELAKANGAN INI.

Friday, January 1, 2010

"Allah" itu hak hamba Allah dan yang menyembahNya , bukan yang mengkhianatiNya

DEWAN RAKYAT: KHAMIS

Datuk Taib Azamudden Mat Taib memberikan pandangan untuk memperjelaskan perkara berkenaan. Datuk Taib adalah seorang yang bekas Imam Besar Masjid Negara dan lebih layak memberikan pandangan.

Saya ini lebih fokus pada pensucian Islam itu sendiri dari kepartian. Terpulang kepada tafsiran orang nak letak kedudukannya di mana,” Taib memulakan penjelasannya.

Bagi beliau kalimah Allah berasaskan Tauhid ia tidak boleh digunakan oleh agama lain dan berpendapat Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

“Sebab itu kalau kita nak bahaskan masalah Allah yang disebut dalam Al-Quran, kita kena lihat Asbabbul Nuzul (sebab sesuatu ayat itu diturunkan) dan kalau kita nak buka erti Allah kepada yang lain-lain, Al Quran juga pernah mendedahkan dalam surah At Taubah (sambil beliau membacakan ayat berkenaan)

“Yang bermaksud, orang Yahudi kata Uzzir anak Allah, orang Kristian kata Al Maseh, anak Allah. Daripada penjelasan ringkas ini, kita nampak Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi lain daripada Allah Tauhid kita.

“Allah yang dimaksudkan orang-orang Masihi adalah dan orang lain adalah lain daripada Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

“Sebab ketauhidan makna Al Ahadiyah dan As Samadyiah itu tidak jadi satu tunggak kepercayaan yang lain daripada Islam sebab itu yang didakwa orang agama lain sedangkan bagi kita, kita tahu Allah tidak ada anak, tidak diperanakkan dan tidak beranak,” jelasnya panjang lebar.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan memberikan penegasan mengenai perkara berkenaan agar ia dapat mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Beliau turut memberikan memberikan pandangan betapa jika kekeliruan mengenai penggunaan kalimah Allah tidak dijelaskan, dikhuatiri pertembungan yang sengit akan berlaku.

“Misal saya katakan, maaf saya pada sahabat-sahabat yang beragama Buddha, Hindu atau agama Kristian. Andai saya bertanya kepada yang agama Hindu, sahabat hendak pergi mana, mereka kata nak pergi sembah Allah, tanya pula sahabat dari Batu Pahat (Dr Puad Zarkashi) atau Sri Gading (Mohamad Aziz), sahabat hendak pergi ke mana, mereka juga jawab, saya nak pergi sembah Allah."

“Ini Allah yang mana? Sebab itu saya lebih suka dalam isu ini, saya menasihati termasuk diri saya, kalau masalah menyentuh aqidah dan sentuh agama kita tak payah sibuk-sibuk,” ujar beliau.


SUMBER: Berita PARLIMEN
LIHAT http://zanas.wordpress.com/2009/03/07/nama-allah%E2%80%A6pas-jawab-pas/

Thursday, December 31, 2009

Nama 'Allah' boleh digunakan oleh Herald Catholic Weekly


Nama 'Allah' boleh digunakan oleh Herald Catholic Weekly - Mahkamah

BERITA TERBARU - KUALA LUMPUR 31 Disember 2009: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, sebentar tadi memutuskan bahawa perkataan "Allah" boleh digunakan dalam penerbitan Herald Catholic Weekly.

Hakim Datuk Lau Bee La membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik. Permohonan bagi semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan Herald Catholic Weekly itu dikemukakan oleh Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam.

Pada 16 Februari lalu, Pakiam, sebagai penerbit akhbar berkenaan, mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan semakan semula penghakiman selepas permohonan serupa pada 2008 dianggap bersifat akademik berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Pakiam yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden, pertama dan kedua.

Pakiam, antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang melarang beliau menggunakan perkataan 'Allah' dalam Herald Catholic Weekly adalah menyalahi undang-undang dan perkataan 'Allah' bukan eksklusif untuk kegunaan agama Islam saja.


SUMBER (c) 2009 Berita HARIAN

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai